Khamis, 2 September 2010

Roslin, Norhayati sah cerai talak satu

Norhayati Othman dan Roslin Hashim.

Oleh Siti Nurazlinee Azmi

Mahkamah setuju lafaz dibuat pemain badminton negara tanpa paksaan mana-mana pihak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam, mengesahkan perceraian talak satu pemain badminton negara, Roslin Hashim dengan pasangannya Norhayati Othman, pada 7 Ogos lalu.

Hakim Syarie Mahyudin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan Norhayati, 38, yang juga Pengarah Pemasaran dan Promosi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dan Roslin, 35, dalam perbicaraan ringkas bulan lalu.

Mahyudin berkata, Roslin atau nama sebenarnya Muhamad Roslin Hashim bersetuju dengan ikrar dan mengakui berlakunya lafaz cerai berbunyi ‘I cerai youlah,’ di bilik 533 Hotel Corus di sini, jam 8.32 malam, pada 7 Ogos 2010.

Katanya, mahkamah bersetuju lafaz dibuat Roslin itu jelas ditujukan kepada Norhayati tanpa paksaan mana-mana pihak dan ia talak satu walaupun beliau tidak menyebut berapa talak dijatuhkan.

“Kes perceraian ini mengejutkan ramai pihak berikutan pasangan baru saja berkahwin. Apa yang dikesalkan perkahwinan yang berlangsung di hotel berakhir di hotel. Sepatutnya setiap masalah di bawa berbincang sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Norhayati (plaintif) melalui peguam syarie, Zulqarnain Lukman memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai kepada mahkamah sama manakala Roslin menerusi peguam syarie Roslizam Rahim tidak memfailkan sebarang pembelaan berikutan mengakui berlakunya kejadian berkenaan.

Sementara itu, Roslin ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau tidak pernah serik untuk berkahwin lagi kerana beliau memang mahukan perkahwinan yang berkekalan untuk selamanya.

“Bagaimanapun saya akur dengan kehendak Allah dan ini adalah takdir saya. Saya juga ingin jelaskan Raja Azmi tiada kaitan langsung dalam masalah perkahwinan saya, ” katanya.

Tiada ulasan: