Khamis, 16 September 2010

Pulau Pinang sokong Badrul tanding ketua AMK, Shamsul naib presiden


BUKIT TAMBUN– Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMK) melahirkan sokongan padu kepada Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard sebagai Ketua AMK pusat manakala Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding kerusi naib presiden.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata, pengumuman rasmi ini mewakili suara akar umbi AMK negeri itu.

Menurut beliau, sokongan yang diambil ini adalah bagi menzahirkan harapan AMK terhadap kedua-dua pemimpin yang dilihat mampu untuk membawa parti ke satu tahap yang lebih proaktif dalam era yang semakin mencabar menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

“AMK Pulau Pinang secara terbuka memberi mandat kepada seluruh ahli AMK Pulau Pinang memilih calon terbaik mengetuai AMK pusat dan menyeru seluruh ahli parti di semua peringkat mengangkat Shamsul Iskandar sebagai salah seorang calon naib presiden.

“Badrul Hisham Shaharin mempunyai karisma dan kredibiliti untuk membawa AMK ke satu era yang terbaik selepas ia diberi ruang oleh ketua AMK, Shamsul Iskandar untuk menaiki tangga yang lebih teratas bagi memberi sumbangan kepada parti.

“Kita di Pulau Pinang telah mendapat mandat sepenuhnya daripada ketua-ketua cabang di Pulau Pinang termasuk calon Ketua AMK Cabang.

“Oleh yang demikian tanda tanya beberapa rakan AMK di beberapa buah negeri mengenai sokongan AMK Pulau Pinang terhadap calon AMK pusat kini terjawab dalam sidang media pada hari ini,” kata beliau pada sidang media di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

PKR yang akan menghadapi proses pemilihan di setiap peringkat dengan konsep satu ahli satu undi merupakan parti pertama yang melebarkan demokrasi pada tahap ini menjelang pemilihan parti tersebut.

Pada sidang media tersebut, Amir juga berkata, pemilihan yang dibuat ini adalah berdasarkan kepada kesedaran bahawa pemimpin akar umbi yang membina jaringan anak muda dengan berani menyatakan prinsip pembelaan rakyat dengan tegas telah menjadi pilihan utama AMK Pulau Pinang.

Turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Exco AMK Pusat, Amizuddin Ahmat, Setiausaha AMK Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid dan barisan kepimpinan AMK Pulau Pinang.


Tiada ulasan: