Rabu, 22 September 2010

Pulau Pinang-Acheh kongsi kepakaran

Ali Hashim

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Acheh serta bersedia untuk membenarkan keuntungan diraih selepas semua kos infrastruktur diambil kira.

Beliau berkata demikian kepada media selepas 'Dialog Pelaburan Perniagaan Pulau Pinang-Acheh' yang telah diadakan semalam.

Menurut Lim lagi, kerajaan negeri akan menawarkan model pembangunan baru untuk sumber asli yang turut meliputi minyak dan gas kepada Acheh menerusi pendekatan yang akan dilakukan oleh kedua-dua negeri.

"Melaui persefahaman ini, maka Acheh dibenarkan untuk mendapatkan keuntungan yang ada. Manakala Pulau Pinang pula akan menawarkan pangkalan sebagai pusat untuk mendarat dan mendapatkan sumber bekalan.

"Bagi merealisasikan perkara tersebut, maka InvestPenang yang juga merupakan anak syarikat kerajaan negeri dan Lembaga Penggalakan Pelaburan Acheh akan merangka stategi, mempercepatkan pertumbuhan serta pembangunan pelaburan dan perniagaan. Mereka juga akan menawarkan peluang pasaran bagi sektor perkhidmatan dan perdagangan dari negeri ini," katanya.

Tambah Lim lagi, kerjasama itu bukan saja mendatangkan manfaat kepada rakyat Acheh dalam jangka masa panjang, tetapi ia juga memberi satu pulangan yang besar kepada rakyat Pulau Pinang dalam bentuk hubungan langsung dan keberhasilan bersama.

Dialog itu juga diharapkan akan menjadi pemangkin bagi mempromosi kolaborasi, perniagaan serta projek pelaburan antara kedua-dua negeri pada masa yang akan datang.

Turut hadir dalam majlis dialog pelaburan tersebut ialah Konsul Jeneral Indonesia ke Pulau Pinang, Chilman Arisman dan Pengerusi Lembaga InvestPenang, Datuk Lee Kah Choon.

Tiada ulasan: