Isnin, 20 September 2010

PTPTN: Potong gaji mulai Jun 2011

Oleh ALI MAHMOOD

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf.

Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan.

Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion.

‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman.

‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya.

Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mungkin cara itu berkesan jika pada masa itu Malaysia telah menguatkuasakan akta gaji minimum. tapi dengan struktur gaji yang tidak menentu di Malaysia hari ini, tindakan PTPTN ini akan membebankan peminjam lebih2 lagi dengan kenaikan harga barangan yang bakal dilaksanakan kerajaan secara berperingkat.

Tanpa Nama berkata...

jangan salahkan peminjam semata2 dan melakukan tindakan secara paksaan. lihat dahulu berapa banyak aduan yang telah diterima oleh PTPTN dari peminjam terutama dikalangan mereka yang menghadapi kesulitan semasa membuat pembayaran. persoalannya, adakah pihak PTPTN menerima semua aduan itu dan melakukan pembaikan seperti yang dikehendaki oleh peminjam??

Anak Sabah berkata...

Ini cara yang bagus untuk memastikan peminjaman PTPTN dilangsaikan.

zam berkata...

rasanya ini adalah cara yang berkesan bagi PTPN untuk memastikan peminjam membayar balik pinajaman PTPTN mereka.