Khamis, 30 September 2010

PRK Dun Galas: PAS Terengganu bersedia turunkan jentera

Pas Terengganu bersedia bila-bila masa sahaja untuk menurunkan jentera parti bagi membantu Pas Kelantan menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman (Gambar) berkata, pihaknya akan bermesyuarat 2 Oktober ini bagi membincangkan perkara yang perlu diberi perhatian dalam pilihan raya berkenaan.

“Terengganu bersedia hantar jentera parti tetapi jumlah kekuatan bergantung kepada Kelantan, selain perkara berhubung pilihan raya kecil itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada Sabtu ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Ariffin yakin, Pas Kelantan telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di DUN dalam Parlimen Gua Musang itu.

Beliau berkata, Pas Kelantan berkemungkinan besar telah mempunyai calon cadangan ketika ini memandangkan penyandangnya, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 48, sudah lama menderita penyakit kanser usus sebelum meninggal dunia.

Ditanya berkemungkinan calon parti Pakatan Rakyat (PR) lain akan ditempatkan dalam pilihan raya kecil itu kelak, beliau yakin calon Pas akan terus dikekalkan.

“Dari segi status quo, kalau di situ kawasan Pas, parti lain tidak akan ganggu dan kita yakin calon Pas akan bertanding. PR tidak akan berebut kerusi,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan Pas dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum lalu, beliau bagaimanapun menaruh harapan Pas akan menang di kawasan itu nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang disahkan menghidap kanser usus sejak Mei tahun lalu meninggal dunia, 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi dengan memperoleh 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN, Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi. -SH

Tiada ulasan: