Isnin, 20 September 2010

Presiden PKR: Anwar tolak pencalonan, tak mahu tanding

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

BUKIT MERTAJAM — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya tidak mahu dicalonkan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini meskipun terus menerima pencalonan sejak semalam.

Setakat petang ini beliau telah menerima tujuh pencalonan untuk jawatan presiden.

Seorang lagi yang dicalonkan untuk jawatan itu ialah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menerajui parti itu sejak ditubuhkan.

Beliau mengulangi ketegasannya tidak akan bertanding sekalipun menerima pencalonan daripada akar umbi.

Anwar menyatakan pendirian itu pada 14 September lalu dengan menegaskan beliau tidak akan menerima sebarang pencalonan agar bertanding pada pemilihan kali ini.

Sebelum ini Majlis Pemuafakatan Kepemimpinan Selangor dan PKR Kedah mahu beliau bertanding kerusi presiden.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar berterima kasih kepada cabang-cabang yang telah mencalonkannya untuk menggantikan Dr Wan Azizah.

“Saya minta jangan ada lagi pencalonan kerana saya telah buat ketetapan dan tidak akan bersedia mengambil jawatan presiden parti Keadilan,” kata Anwar.

Jelas Anwar, Dr Wan Azizah telah berjasa mengukuhkan parti dan kerjasama dengan PAS dan DAP.

“Dan, kepimpinannya masih diperlukan,” kata Anwar yang beliau sendiri selesa untuk kekal sebagai penasihat PKR dan memantau parti agar tidak tergelincir daripada perjuangannya.

“... sekiranya masih diberi kepercayaan oleh parti,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman di Penanti dekat sini hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, tiada perbezaan pendapat antara beliau dan anaknya mengenai jawatan timbalan presiden yang dijangka disaingi Naib Presiden Azmin Ali dan anggota Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim.

Kata Anwar, Nurul Izzah tidak terlibat langsung dengan kedua-duanya dan tidak berkempen untuk sesiapa.

“Dakwaan itu hanyalah fitnah semata-mata,” katanya.

Tiada ulasan: