Isnin, 20 September 2010

Presiden PKR: Anwar tetap tolak pencalonan

Ali Hashim

PENANTI: Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap berpegang kepada kenyataannya sebelum ini untuk tidak menerima sebarang pencalonan bagi bertanding kerusi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti Oktober ini.

Anwar berkata demikian kepada media semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mansor Othman di Dataran Rakyat, Taman Guar Perahu, di sini, semalam.

Menurutnya, sepatutnya Datuk Seri Dr. Wan Azizah diberi kepercayaan bagi meneruskan kesinambungan perjuangan setelah sekian lama menerajui jawatan tersebut semasa berada dalam tahanan lagi.

"Sejak 1999, beliau adalah orang yang telah memimpin parti. Maka sehingga ini pun biarlah Azizah yang menerajui parti ini. Saya akan tetap dengan pendirian saya tidak akan bertanding bagi sebarang jawatan dalam parti.

"Kemungkinan ini adalah desakan dari konco-konco Umno yang mahukan saya bertanding. Namun begitu saya tetap tidak akan menerima dan mengucapkan terima kasih kepada cabang-cabang yang telah mencalonkan nama saya sebelum ini," ujarnya lagi.

Walau bagaimana pun, beliau tidak menggalakkan diadakan kumpulan atau 'camp' dalam pertandingan bagi merebut jawatan dalam pemilihan parti.

"Biarlah kita bertanding secara sihat dalam suasana kekeluargaan yang tidak akan merenggangkan hubungan sama ada yang kalah atau pun menang.

"Sebagai mendokong kehendak parti, maka amalan demokrasi yang dilaksanakan sepenuhnya oleh PKR mematangkan kita dalam meneruskan agenda bagi menguasai pemerintahan negara dari Barisan Nasional," tegasnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa pimpinan tertinggi parti terlibat dalam memilih pimpinan kali ini.

"Siapa sahaja yang layak dan mampu untuk membawa agenda parti bagi mengadakan reformasi kearah Putrajaya harus diberi sokongan. Kita tidak memihak kepada mana-mana calon dalam pemilihan," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan kepimpinan PKR, PAS dan DAP Negeri Pulau Pinang

Tiada ulasan: