Khamis, 23 September 2010

Presiden NUJ pertahan reaksi, komen Perkasa tak masuk akal

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari mempertahankan kenyataannya dua hari lalu sambil berkata, ia merupakan sebuah badan yang tidak memihak sesiapa dan pada masa yang sama mahu media seharusnya dimiliki oleh rakyat.

“NUJ Malaysia merupakan pertubuhan yang mendukung etika kewartawanan bagi memastikan wartawan dapat bertugas dengan penuh profesionalisme dan mengetepikan sebarang sikap memihak bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada pembaca adalah tepat dan benar,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hata berkata, sebagai presiden NUJ Malaysia beliau mendukung prinsip-prinsip tersebut, malah mengambil pendirian memperjuangkan lebih daripada etika kewartawanan.

“Ia merupakan pertubuhan yang menaungi 1,335 orang ahli yang berkhidmat di lapan buah syarikat akhbar secara langsung dan secara tidak langsung juga melindungi serta mempertahankan hak-hak pengarang-pengarang akhbar.

“Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin-pemimpin politik lain,” katanya,

Sehubungan itu katanya, kenyataan dikeluarkan ahli Majlis Tertinggi Perkasa Mohd. Zahid Md. Arif merupakan sesuatu “tidak masuk akal dan tidak relevan”.

“Sebagai Presiden NUJ Malaysia, jiwa dan raga saya hanya untuk kesatuan serta mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

“Saya adalah wartawan profesional dan telah bertugas lebih 15 tahun di Utusan dan mengetuai sebuah pertubuhan profesional, maka tindak tanduk NUJ Malaysia melebihi sempadan serta tidak termaktub kepada kongkongan mana-mana pihak,” kata Hatta.

Katanya, “nasihat saya kepada Perkasa, jagalah ahli-ahli Perkasa dan laksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli.”

Kata beliau, Perkasa juga harus tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti politik.

Beliau menambah, akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum 1961.

“Utusan pada awal penubuhannya sehingga tahun 1961 adalah akhbar yang memainkan peranan bagi membangkitkan semangat kebangsaan yang progresif dan liberal di samping menolong mengisi kemerdekaan menerusi peranannya sebagai sebuah akhbar yang bebas dari politik kepartian,” kata beliau.

Hata menambah, sebagai wartawan profesional beliau juga merupakan pekerja yang setia dengan akhbar Utusan Malaysia untuk mendokong prinsip-prinsip asas yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas akhbar tersebut yang sememangnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Hata menambah, kenyataan yang dikeluarkan Zahid lebih cenderung kepada parti pembangkang jelas menunjukkan Perkasa memihak kepada parti politik dan tentunya parti itu adalah Barisan Nasional.

“Bagi NUJ Malaysia kami akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan dan melaksanakan tanggungjawab tanpa memihak atau cenderung kepada mana-mana pihak atau parti politik baik Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: