Rabu, 29 September 2010

Polis lengkapkan kertas siasatan individu menyamar TMJ dalam Facebook

BERNAMA

JOHOR BAHARU – Polis kini berusaha melengkapkan kertas siasatan kes penyamaran menerusi Facebook menggunakan nama Tunku Mahkota Johor(TMJ) bagi memastikan individu terlibat dikenakan kegiatan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya namun dikembalikan bagi melengkapkan beberapa keterangan.

“Selesai sahaja siasatan, saya akan arahkan anggota supaya menyerahkan semula kertas siasatan itu kembali kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Sebelum ini, individu yang dikenali sebagai “Miky” didapati mengendalikan laman Facebook menggunakan nama Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dinamakan “Diari Harian Tunku Mahkota Johor”.

Selain memuat naik gambar dan aktiviti Tunku Ismail, individu itu juga melayan komen-komen peminat yang menyangkakan dirinya ialah TMJ.

Polis pada 31 Ogos lepas menahan dua lelaki di sebuah rumah di Taman Seri Amar di sini, bagi membantu siasatan kes penyamaran tersebut serta merampas dua komputer riba dan sebuah telefon bimbit daripada mereka.

Kedua-dua mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama enam hari.

Tiada ulasan: