Rabu, 8 September 2010

Polis Kelantan Siarkan Gambar Tertuduh Larikan Diri

BERNAMA

KOTA BARU: Polis Kelantan hari ini masih memburu seorang lelaki yang melarikan diri dari Mahkamah Kota Baharu dan abang lelaki itu yang membantu adiknya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sewaktu di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan berhubung kes dadah, Isnin.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negeri,ACP Mazlan Lazim berkata polis hari ini mengedarkan gambar kedua-dua lelaki itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mengenalinya supaya melaporkan kepada balai polis terdekat.

Beliau berkata lelaki tahanan polis itu dikenali, Kamaruzaman Radzi, 26, manakala abangnya, Azmi Radzi, 28, juga menjadi buruan polis kerana mencuri kereta.

"Hari ini kita menyiarkan gambar kedua-dua suspek untuk dihebahkankepada orang ramai bagi membantu polis dalam siasatan kes ini," katanya pada sidang akhbardi pejabatnya, di sini, Selasa.

Semalam Kamaruzaman telah dituduh dalam kes dadah di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berjaya meloloskan diri dari tahanan polis ketika diiringi ke lokap mahkamah itu selepas kesnya selesai, pukul 1 tengah hari semalam dengan abangnya menunggu di dalam kereta di hadapan perkarangan mahkamah.

Mazlan yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan itu berkata siasatan awal polis mendapati anggota polis berpangkat koperal yang mengawalnya cuba mengejar tetapi gagal apabila kereta yang dinaiki lelaki terbabit memecut laju.

Beliau berkata siasatan polis kemudiannya menjumpai kereta yang dinaiki suspek jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hijau bernombor pendaftaran DAH 5758, dijumpai di Tanjong Chat, Pengkalan Chepa.

Kenderaan tersebut dipercayai dicuri dan dilaporkan hilang seharisebelum kejadian itu di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, dekat sini.

"Tahanan yang melarikan diri itu ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes dadah di rumahnya di sebuah flet Sentosa Villa, Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada 15 Oktober tahun lepas," katanya.

Beliau enggan menjelaskan apakah tindakan yang akan diambil terhadap anggotanya, sehingga siasatan selesai dijalankan.

Tiada ulasan: