Sabtu, 25 September 2010

PKR Gombak: Belum mesyuarat, ahli dah minta macam-macam


pkr bm Oleh Muda Mohd Noor

GOMBAK: Calon yang mencabar Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk jawatan ketua cabang Gombak berkata, beliau runsing dan pening memikirkan karenah ahli parti menjelang mesyuarat hujung minggu depan.

Bakar Ninggal berkata, ahli mula bertanya mengenai makan minum serta pengangkutan untuk mesyuarat yang akan diadakan di hotel De Palma, Ampang Ahad depan.

"Mereka minta tambang pengangkutan (bas) dan makan minum. Sewa bas antara RM600 dan RM700 sebuah, manakala makan minum pula sekurang-kurangnya RM30 seorang.

"Ini yang diberitahu oleh juru kempen saya. Semakin dekat dengan pengundian bermacam-macamlah permintaan mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Bakar, seorang penerbit buku-buku hantu di Pusat Bandar Seri Gombak akan mencabar Azmin dalam saingan satu lawan satu untuk jawatan ketua cabang PKR Gombak.

PKR Gombak yang mempunyai kira-kira 3,200 ahli adalah di antara cabang yang menjadi tumpuan kerana kedudukan Azmin sebagai naib presiden dan juga ahli parlimen Gombak dan baru-baru ini mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden PKR November ini.

Beliau juga merupakan ketua cabang Gombak sejak ditubuhkan pada 1999.

Manakala Bakar, pernah menjadi timbalan ketua cabang selama dua penggal (6 tahun) sebelum meletakkan jawatan pada 2008.

"Saya mempunyai penyokong antara 300 dan 400 orang dan ini bermakna saya memerlukan antara RM10,000 dan RM15,000 untuk membiayai mereka.

"Masalahnya saya tiada wang. Pening juga memikirkan perkara tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Bakar memberi jaminan beliau tidak akan menarik diri dari bertanding jawatan ketua cabang Gombak.

Ditanya peluang menang, Bakar berkata, " Ada peluang. Orang yang mengundi kata, saya ada peluang".

Tiada ulasan: