Sabtu, 11 September 2010

Pertarungan No. 2 PKR: Anwar 'tutup mulut'

Susan Loon

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih terus 'tutup mulut' mengenai calon yang disokongnya dalam pertandingan jawatan timbalan presiden PKR - yang dijangka menyaksikan pertarungan antara Azmin Ali dengan Datuk Zaid Ibrahim.

Ketika ditanya sama ada beliau menyokong Azmin untuk memegang jawatan tersebut - seperti yang dilaporkan di media - Anwar berkata beliau tidak memihak kepada mana-mana calon dalam pertandingan tersebut.

"Pendirian saya ialah menghormati proses demokrasi. Ahli parti akan berpeluang untuk memahami idea-idea politik calon (yang bertanding), manifesto dan pendirian mereka tentang isu-isu," katanya kepada wartawan di majlis hari raya di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

Dengan pengetahuan itu, tambahnya, mereka boleh mengundi untuk mempertahankan prinsip dan agenda reformasi parti dan prinsip," tegasnya.

Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, juga ditanya tentang cadangan kumpulan yang mendakwa mewakili kesemua 22 cabang PKR di Selangor PKR yang mahu beliau dipilih sebagai presiden parti itu.

Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa beliau perlu berhati-hati dalam responnya terhadap cadangan seumpama itu.

Kumpulan itu turut menyarankan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan timbalan presiden.

Tetapi sekiranya gandingan Anwar-Wan Azizah tidak diterima, mereka mencadangkan supaya dikekalkan penyandang jawatan presiden (Wan Azizah) dan timbalan presiden (Syed Husin Ali).

Tiada ulasan: