Selasa, 7 September 2010

Perkauman: PAS sokong Tengku Abdullah


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: PAS menyokong dan menjunjung kasih ke atas titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahukan umat Islam menolak cara hidup berpuak-puak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, parti itu dapat merasakan betapa besarnya harapan pihak istana untuk rakyat dan parti-parti politik di negara ini bersatu atas nama Islam dan bukannya berpuak-puak mengikut bangsa dan kaum masing-masing.

"Hanya Islam yang mampu memberikan keharmonian dan keamanan serta menyatukan rakyat sedangkan politik mengikut bangsa dan kaum tertentu hanya memecahkan lagi masyarakat.

"Orang Melayu tidak seharusnya duduk dalam parti Melayu sahaja, orang Cina juga tidak boleh duduk parti Cina sahaja, orang India pun begitu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas titah Tengku Abdullah ketika merasmikan Masjid Saidina Ali Kampung Bapong, Padang Tengku di Kuala Lipis, Ahad lalu.

Baginda bertitah dengan mengingatkan umat Islam agar tidak mengamalkan kehidupan berpuak-puak dan berpecah-belah kerana ia boleh menggugat umat Islam itu sendiri.

Menurut baginda lagi, hidup berpecah-belah tanpa sefahaman hanya akan merugikan umat Islam sedangkan masyarakat lain bersatu-padu dan maju.

Mengulas lanjut, Idris berkata PAS kini menjadi platform terbaik untuk rakyat bersatu padu kerana parti ini memperjuangkan Islam dan bukan memperjuangkan bangsa.

Jelasnya, tidak kira Melayu, Cina dan India, kesemuanya dapat bersama dengan harmoni dibawah PAS dan terbukti dengan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang majoriti ahlinya adalah kalangan bukan Melayu Islam.

Sehubungan itu PAS tegasnya menggesa rakyat negara ini khususnya di Pahang dapat melihat hasrat kepimpinan mereka yang mahukan Islam diletakan di tempat yang sewajarnya.

"PAS berharap rakyat dapat menukar Kerajaan yang mempertahakan perjuangan berasaskan kaum dan puak mereka sahaja.

"Dengan menolak Umno-BN sekaligus umat Islam khususnya kalangan kaum Melayu dapat bersatu atas nama Islam," jelas Idris.

Tiada ulasan: