Sabtu, 18 September 2010

Perkasa terus gesa Najib perjelas 1 Malaysia elak BN hilang undi

TERKINI

KUALA LUMPUR— Perkasa yang baru-baru ini berhadapan polemik dijauhi Umno-BN, hari ini mengulangi pendirian mendesak Datuk Seri Najib Razak agar menjelaskan konsep 1 Malaysia jika tidak mahu ditolak dalam pilihan raya umum ke-13.

Gesaan ini dibuat oleh Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali sehari selepas Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menafikan konsep 1 Malaysia sudah gagal.

Bulan lalu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencabar Najib menjelaskan idea beliau itu sambil membawa satu resolusi berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sambil mendakwa konsep 1 Malaysia bukan soal berkaitan kesamarataan melibatkan semua kaum.

“Konsep 1 Malaysia jika dinyatakan oleh Perdana Menteri sedang bergerak dengan baik, Perkasa rasa masih perlu diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada semua lapisan masyarakat,” kata Syed Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa Perkasa mendapat maklum balas daripada kebanyakan orang Melayu di akar umbi berkaitan konsep 1 Malaysia.

“Ia masih mengelirukan. Ini suara akar umbi yang pimpinan perolehi,” kata beliau.

Syed Hassan menambah, di pihak sesetengah masyarakat bukan Melayu, Perkasa mendapati mereka beranggapan ia adalah satu usaha menyamatarafkan semua kaum dalam pembahagian kekayaan negara dan dengan tidak ada kaum dilayan istimewa berbanding yang lain.

“Semua dianggap sama. Perkasa sangat bimbang jika tidak diusahakan dengan lebih jitu untuk memperjelaskan konsep 1 Malaysia ini ia akan membuatkan sesetengah masyarakat tertentu akan menolak Umno dan BN,” kata beliau.

Syed Hassan menambah Perkasa menerima konsep 1 Malaysia sepertimana yang pernah ditegaskan oleh Najib di Parlimen tidak lama dulu bahawa ia berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Semalan, Najib berkata gagasan 1 Malaysia adalah ''kerja dalam pelaksanaan'', yang akan mencapai objektifnya dengan sokongan dan komitmen padu daripada semua lapisan rakyat.

Beliau menegaskan gagasan 1 Malaysia serta langkah transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan ialah satu proses yang berterusan.

Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan tahun lepas, kata Najib, tidak boleh direalisasikan sepenuhnya hari ini.

“Ingin saya jelaskan di sini, apa yang telah kerajaan lakukan setakat ini hanyalah merupakan permulaan daripada apa yang kita harap dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam beberapa tahun yang akan datang.

“Saya tidak gemar dengan tanggapan bahawa apabila sesuatu perkara tidak berhasil, masyarakat akan mengatakan ''oh... 1 Malaysia tidak berkesan''. Ini tidak betul.

“Saya ingin menyatakan bahawa ia (1 Malaysia) merupakan kerja dalam pelaksanaan, dan kami memerlukan komitmen penuh daripada semua rakyat Malaysia untuk mencapai matlamatnya,” kata Najib yang memperkenalkan konsep April 2009 selepas dilantik menjadi perdana menteri keenam.

Mengenai pendirian Najib tentang peranan Perkasa, Syed Hassan berkata kenyataan beliau adalah satu kenyataan seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat.

“Tanggungjawab seorang Perdana Menteri kepada masyarakat ada banyak cara.

“Melalui NGO-NGO adalah salah satu caranya. Jadi kenyataan Perdana Menteri itu tidak khusus kepada Perkasa saja. Ia kepada semua NGO.

“Dan, tidak kecualikan Perkasa dalam hal ini tidak bermakna Perdana Menteri setuju dengan semua desakan Perkasa,” katanya.

Namun kata Syed Hassan, menjauhi Perkasa pasti itu bukan tindakan yang tepat yang Najib rasakan.

“Kalau NGO seperti Hindraf yang tidak berdaftar pun kerajaan BN ambil kira suara mereka mengapa NGO seperti Perkasa yang sah tidak boleh didekati.

“Saya sangat teruja kenyataan Perdana Menteri tersebut dan ia diharap tidak disalahertikan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan menuduh Perdana Menteri dan Umno mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Kata beliau, Perkasa menekankan dengan sejelasnya seperti sebelum ini bahawa tiada hubungan istimewa Umno dengan Perkasa.

“Dan, Perkasa amat berterima kasih dengan kenyataan Perdana Menteri itu.

“Perkasa percaya Umno dan BN sentiasa ambil kira desakan dan pandagan Perkasa dan NGO-NGO lain,” kata beliau.

Syed Hassan menambah, pihak yang menganggotai NGO adalah rakyat dan tindakan menjauhi NGO bermakna menjauhi rakyat.

Tiada ulasan: