Sabtu, 11 September 2010

Penduduk mogok, Kelab Putera 1Malaysia hampir terkandas misi serah bantuan

BERNAMA

KARACHI: Kelab Putera 1Malaysia hari ini sekali lagi berdepan cabaran besar apabila hampir terkandas dalam usaha menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Gharo.

Rombongan kelab itu terkandas kira-kira setengah jam, berikutan mogok oleh penduduk di Dehbachi, di sini yang menghalang laluan utama Gharo-Karachi berikutan kegagalan mendapatkan bekalan air bersih daripada pihak berwajib.

Perhimpunan mogok itu rata-rata disertai golongan wanita dan dianggarkan jumlah mereka hampir 100 orang itu menghalang jalan utama dengan ranting-ranting berduri di kiri dan kanan jalan sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

Usaha presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, bersama Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd Khalid Abdul Razak, bertanyakan mengenai masalah penduduk setempat di situ, sedikit sebanyak membuahkan hasil apabila kemarahan penduduk dilihat agak reda dengan kehadiran pasukan sukarelawan Malaysia.

Abdul Azeez memberitahu pemberita bahawa mogok itu diadakan kerana masalah bekalan air yang sepatutnya diterima seminggu yang lalu tidak kunjung tiba dan ia ditambah lagi dengan kehadiran Syawal yang disambut oleh umat Islam di Pakistan hari ini.

"Kami pergi ke Juhi empat hari lalu, tetapi tidak dapat masuk kerana ada terlalu banyak air dan semua jalan telah pun rosak. Jadi esok, dengan bantuan daripada kerajaan (Pakistan), kami akan menaiki helikopter ke Juhi dan membawa banyak barangan seperti penuras air, air mineral, bungkusan makanan, ubat-ubatan, kari dal dan sebagainya untuk penduduk di pedalaman.

"Kumpulan dari Malaysia ini mahu pergi ke tempat yang tiada siapa pun pernah sampai. Inilah kelebihan yang kami ada dan kami mahu lakukan lebih lagi," katanya.

Kelab itu juga turut menyampaikan sumbangan kepada lebih 1,000 keluarga di pusat pemindahan, sementara Nor Mohammad Thaim sebelum misi berakhir dengan penyerahan sumbangan kepada kira-kira 20 keluarga di jalan Gharo-Karachi yang tinggal di tepi-tepi jalan yang dipenuhi air.

Banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Pakistan sejak 22 Julai lalu yang berlarutan sehingga lebih sebulan di beberapa tempat itu adalah yang terburuk pernah dialami negara berkenaan dalam tempoh 80 tahun.

Sehingga kini, bencana itu sudah pun meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Pakistan yang disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa dijadual berakhir pada Isnin ini selepas bermula pada 3 Sept lalu.

Tiada ulasan: