Selasa, 21 September 2010

Penawar: Umno tidak harus pinggir Perkasa, NGO bela Melayu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) mendesak Umno agar bekerjasama dengan Perkasa dan badan-badan bukan kerajaan Melayu lain yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera.

Keputusan itu diambil oleh Dewan Tertinggi Penawar hari ini di sebalik pandangan bahawa Umno dan BN harus menjauhkan diri daripada Perkasa jika tidak mahu sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 terhakis.

Presiden Penawar Tan Sri Adam Kadir berkata, pihaknya juga duka cita dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung isu Perkasa baru-baru ini.

“Kami amat berdukacita dengan kenyataan dan sikap Datuk Seri Tengku Adnan selaku Setiausaha Agong Umno yang mengutuk Perkasa dan NGO Melayu sebagai rasis apabila mereka memperjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kata Adam, Dewan Tertingi Penawar juga menuntut beliau agar memohon maaf kepada Perkasa dan NGO-NGO Melayu.

“Sekiranya enggan berbuat demikian, kami menuntut supaya Umno memecat beliau sebagai Setiausaha Agung Umno,” kata Adam.

Terdahulu Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali juga menggesa Tengku Adnan dipecat.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Tengku Adnan menafikan rakan-rakannya dari BN pernah mengambil keputusan awal bulan ini untuk menjauhkan diri daripada Perkasa atas alasan pertubuhan bukan kerajaan itu menghakis sokongan mereka.

Penafian beliau itu muncul sehari selepas kenyataan Datuk Seri Najib Razak, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, bahawa Umno tidak mahu mencetuskan konflik dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan meskipun pemimpin-pemimpin Umno termasuk beliau menolak Perkasa.

Lebih seminggu lalu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN dilaporkan bahawa rakan-rakannya dalam BN telah bersetuju bahawa menjauhkan perikatan itu daripada Perkasa adalah langkah terbaik untuk mengatasi sokongan bukan Melayu kepada BN yang didakwa semakin merosot.

Sokongan itu antara lain merosot kerana bukan Melayu melihat Umno menjalin kerjasama dengan Perkasa.

Tengku Adnan pernah menafikan Umno ada kerjasama dengan Perkasa ataupun menyokong perjuangan Perkasa.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider sebelum ini beliau juga memberitahu bahawa Umno tidak akan menyokong Perkasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Tengku Adnan menekankan bahawa BN tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.

Jelas Tengku Adnan, beliau hanya memberitahu bahawa tindakan Perkasa sejak kebelakangan ini memperlekehkan peluang BN dalam pilihan raya umum akan datang dengan mensabotaj soal keharmonian kaum di kalagan komponen perikatan itu.

Tengku Adnan juga menekankan tentang apa yang dikatakan oleh Najib sambil berkata, Umno dan BN tidak harus menjauhkan diri daripada mana-mana NGO tetapi sewajarnya membimbing mereka dengan dasar-dasar BN.

Tiada ulasan: