Rabu, 1 September 2010

Pemuda Kedah anjur Ambang Merdeka Tanpa Maksiat

Harakahdaily

ALOR STAR: Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah menganjurkan program Ambang Merdeka Tanpa Maksiat (Amat) sempena menyambut ambang kemerdekaan ke-53, malam semalam.

Menurut ketuanya, Nasir Zakaria, program berkenaan bertujuan mendekati anak muda yang menyambut malam merdeka dengan mengedarkan risalah mengandungi fakta-fakta mengenai masalah sosial termasuk pembuangan bayi yang sedang berleluasa.

(Gambar: Nasir membahagikan risalah kepada anak muda.)

"Tujuan program itu kita nak buat enggagement dengan anak muda sebab kita sebut anak muda geng kita, jadi kita nak dekati mereka, bukan nak jauhkan diri daripada mereka," kata Nasir ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Program berkenaan diadakan di dua tempat iaitu di Dataran Masjid Negeri Kedah, Alor Star dan Dataran Jam Besar, Sungai Petani.

Ianya disertai 40 sukarelawan terdiri daripada pemuda negeri termasuk setiausaha pemuda negeri, Rosli Azmi dan setiausaha, Fadhil Nor Sahani.

Beliau memberitahu, program yang bermula jam 11.30 malam hingga 1 pagi itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak muda yang didekati.

"Kita akan teruskan program seperti ini pada waktu yang lain, contohnya pada malam sambutan tahun baru dan sambutan-sambutan tertentu,” ujarnya.

Tiada ulasan: