Ahad, 5 September 2010

Pemimpin Umno minta Najib ‘tidak gopoh’ panggil PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pemimpin-pemimpin Umno dan para pembantu Datuk Seri Najib Razak dipercayai telah meminta beliau agar ‘menangguhkan’ idea mahu memanggil pilihan raya umum tergempar dengan menekankan, perdana menteri tidak harus menganggap peningkatan popularitinya sebagai kayu ukur parti itu sudah diterima sepenuhnya oleh rakyat.

Presiden Umno ini mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno Johor kelmarin di mana beberapa pemimpin telah berkongsi keprihatinan mereka tentang populariti parti dominan Barisan Nasional (BN) itu.

“Datuk Seri Najib memang popular, tidak ada siapa yang boleh meragui. Bagaimanapun parti tidak popular di sesetengah negeri seperti di Johor,” kata seorang pemimpin Umno kepada The Malaysian Insider yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Kajian kendalian Merdeka Center menunjukkan tahap populariti perdana menteri meningkat kepada 72 peratus Mei lalu atas andaian bahawa negara sedang berada di landasan betul. Negara mencatatkan pertumbuhan 9.5 peratus pada separuh pertama dan pentadbiran Najib yakin negara boleh melepasi sasaran pertumbuhan enam peratus tahun ini.

Kedudukan ekonomi yang lebih baik disusuli dengan spekulasi bahawa Najib, yang mengambil alih kepimpinan pada April 2009, kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum ke-13 pada separuh pertama tahun depan meskipun laporan Economist Intelligence Unit (EIU) menolak desas-desus itu.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga pernah memberitahu The Malaysian Insider yang beliau percayai pilihan raya umum hanya akan diadakan selepas 2012.

Laporan EIU, dengan mengambil kira prestasi BN dalam beberapa pilihan raya kecil lalu, antara lain kerana pendirian pengundi bukan Melayu yang mudah berubah, pilihan raya tidak mungkin diadakan sehingga 2012.

Mandat semasa kerajaan persekutuan dan negeri kecuali Sarawak akan berakhir Mei 2013.

Pun begitu, The Malaysian Insider difahamkan Najib telah meminta pemimpin-pemimpin Umno supaya mengetepikan retorik berbaur perkauman memandangkan BN perlu berlaku adil kepada semua kaum dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Beliau memberitahu mereka bahawa sasarannya adalah mudah. BN perlu berlaku adil kepada kesemua kaum untuk memenangi pilihan raya,” kata pemimpin Umno itu.

Difahamkan perdana menteri juga memberitahu pemimpin-pemimpin agar “turun ke bawah” dan memastikan BN memperoleh sokongan yang seluas mungkin untuk melepasi cabaran pilihan raya umum ke-13.

“Beliau (Najib) tahu masalahnya dan memberitahu kami agar bekerja kuat di akar umbi, dan beliau menambah bahawa Johor bernasib baik kerana mempunyai banyak pemimpin yang kuat,” kata pemimpin dari negeri yang Umno lahir.

“Malah beliau juga berkata ada negeri yang mengadu mengapa Johor ada ramai pemimpin dalam Kabinet,” kata pemimpin itu dengan merujuk kepada keanggotaan lima orang dalam Kabinet termasuk seorang dari MIC.

BN hilang lima negeri dan dinafikan majoriti dua pertiga ketika pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun BN mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri Perak awal tahun lalu.

Pilihan raya umum 2008 diadakan empat tahun selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menguasai 91 peratus mandat pada 2004.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, ada petanda bahawa rakyat menghargai usaha-usaha yang dibawa oleh Najib tetapi mereka juga ingin melihat lebih banyak inisiatif daripada kepimpinannya, seperti program transformasi kerajaan dilaksanakan dengan jayanya.

“Publik masih ada dua bentuk fikiran tetapi mereka juga memperakui beliau sedang melakukan yang terbaik,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider sebelum ini.

Najib memulakan khidmatnya pada April 2009 dengan tahap populariti 44 peratus dan ia meningkat kepada 69 peratus setahun kemudian sebelum mencecah 72 peratus baru-baru ini.

Pertengahan Jun lalu, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, tarikh pilihan raya akan datang akan “mengejutkan semua pihak”.

Kata Najib, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.

Najib berkata BN perlu terlebih dahulu memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan kedudukan parti itu sebelum pilihan raya diadakan.

Tiada ulasan: