Isnin, 20 September 2010

Pemimpin Umno Kritik TV Selangor Hanya Tunjuk Kebodohan Sendiri


Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM - Komen negatif Ketua Penerangan Umno Selangor terhadap portal berita seperti TV Selangor semata-mata untuk menghalang sesuatu isu itu dijuarai oleh media terbabit hanya membuktikan kepada rakyat usaha parti itu untuk menutup kebenaran disamping menunjukkan kebodohan sendiri.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata sebagai ahli politik, Abdul Shukor Idrus perlu menerima kritikan dan teguran daripada semua pihak dan bukannya memberi kritikan yang dilihat kurang matang terhadap mereka yang mengutarakan pendapat atau komen berhubung sesuatu isu.

Beliau merujuk kepada desakan Abdul Shukor dalam akhbar Utusan Malaysia yang mahu polis menyiasat laporan yang disiarkan dalam TV Selangor berhubung kenyataan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengenai kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakan beliau.

"Saya rasa apa yang dinyatakan oleh TV Selangor dan media alternatif merupakan perkara-perkara yang dipersoalkan oleh rakyat jelata, dan memang ada empat laporan polis dibuat tetapi sehingga kini tiada siasatan. Ini yang menjadi tanda tanya," jelas beliau.

Khalid berkata media berfungsi sebagai jurucakap bagi pihak rakyat secara umumnya, maka itu persoalan media perlulah dilihat sebagai persoalan dari rakyat yang mengharapkan satu jawapan yang bermakna.

Tambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bahawa polis akan mengambil berat segala aduan dan laporan yang diterima selepas ini hanya membuktikan sebelum ini tiada perhatian serius diberikan kepada aduan dan laporan yang dibuat.

"Kita perlu mengusahakan ke arah memperkasakan institusi kepolisan agar perkara sebegini tidak berlaku, dan kenyataan Abdul Shukor jelas tidak akan membantu mana-mana pihak memperbaiki diri," tegas Khalid.

Katanya lagi, kenyataan Abdul Shukor mencela media seperti TV Selangor hanya akan menjatuhkan imejnya sebagai seorang pemimpin di kalangan masyarakat umum kerana terdapat banyak pihak lagi yang mempersoalkan kecekapan polis selain TV Selangor.

Tiada ulasan: