Ahad, 5 September 2010

Pelan Hala Tuju: Selangor digesa adakan pilihan raya PBT


PETALING JAYAt — Sesi dialog Pelan Hala Tuju Selangor 2011-2013 Bersama Rakyat yang sedang berlangsung turut menerima syor agar kerajaan negeri adakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan meskipun telah ditolak pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mac lalu.

Saranan itu berpendapat bahawa sudah tiba masanya ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan dipilih oleh penduduk tempatan menerusi satu pilihan raya khas dengan diberi hak undi ketiga berbanding sistem pelantikan sekarang.

“Saya mendapati pandangan seperti ini dibangkitkan oleh peserta-peserta dialog dari kawasan bandar, ini menjadi antara keutamaan mereka,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian yang bertindak sebagai penyelaras dokumentasiperbincangan dialog.

“Mereka yang menyertai dialog di peringkat Petaling Jaya, Subang Jaya membangkitkan pandangan seperti ini dengan harapan pemimpin PBT lebih berakauntabiliti dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun menurut Ibrahim, dari segi keutamaan saranan agar diadakan pilihan raya kerajaan tempatan menduduki tahap kedua kerana rakyat masih mahukan kerajaan negeri memberi fokus ke atas usaha memperbaiki perkhidmatan dan kemudahan asas.

Ia antara beberapa saranan diketengahkan ketika sesi dialog Pelan Hala Tuju Selangor 2011-2013 2011-2013 Bersama Rakyat.

Sehingga semalam, Selangor telah mengadakan 10 sesi dialog dan ia diteruskan hari ini bagi kawasan Klang dan Kajang pula esok.

Selangor dan Pulau Pinang pernah membangkitkan cadangan mereka untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan awal Mac lalu.

Justeru, Kedua-dua kerajaan negeri itu menulis kepada SPR agar membantu mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun rancangan mereka itu kini kelihatan ‘tergantung’ ekoran pendirian SPR bahawa tiada “undang-undang yang membolehkan” badan itu untuk mengembalikan undi ketiga menerusi pilihan raya kerajaan tempatan.

Ia sekali gus menolak permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.

SPR menjelaskan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Malah ketika itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberitahu pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak empat dekad lalu tidak perlu diwujudkan semula.

Pengerusi BN itu memberitahu proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih berkesan.

Sementara itu, peserta yang menyertai sesi dialog Pelan Hala Tuju Selangor 2011-2013 Bersama Rakyat di MBPJ semalam berpendapat bahawa walaupun kerajaan negeri Selangor Pakatan Rajyat sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat sepanjang dua tahun lalu, namun lebih banyak perubahan dan penambahbaikan perlu dibawa.

Dialog peringkat MBPJ, dijalankan secara perbincangan meja bulat, disertai 80 orang.

Perbincangan tersebut menekankan tiga topik utama iaitu pembangunan dan kemudahan infrastruktur, urus tadbir kerajaan yang baik dan juga isu sosial dan pembangunan masyarakat.

Di bawah topik pembangunan dan kemudahan infrastruktur, beberapa cadangan dikemukakan peserta iaitu mahu masalah kesesakan lalu lintas diselesaikan, pembangunan infrastruktur tidak selari dengan kemajuan perlu diubah termasuk memerlukan jalan-jalan yang lebih luas, sistem trafik yang lancar dan penyelenggaraan dinaik taraf.

Peserta juga mahu sistem perkhidmatan awam dinaik taraf, pengurusan air juga patut diambil alih oleh kerajaan negeri, memperkenalkan sistem indeks dalam isu jenayah, kebersihan, keselamatan serta perumahan dan pembangunan di Petaling Jaya mesti seragam supaya kawasan industri dapat dirancang dengan betul.

Mengenai topik urus tadbir kerajaan yang baik pula, peserta juga mencadangkan agar diadakan pilihan raya tempatan, Petaling Jaya patut dijadikan persaingan dengan Kuala Lumpur, akta perancang bandar perlu dipinda mengikut keadaan semasa dan ahli Majlis MBPJ perlu turun padang lebih kerap.

Selain itu, peserta juga membangkitkan isu berkaitan projek yang sepatutnya menjadi prorakyat yang kini kelihatan propemaju, respons yang lembab terhadap aduan juga perlu diberi penekanan serta mewujudkan pejabat cawangan MBPJ di kawasan lokal demi memudahkan penduduk.

Sementara itu, bagi topik isu sosial dan pembangunan masyarakat peserta mencadangkan agar pusat-pusat hiburan dipantau selalu, mereka juga mahu isu jenayah diberikan perhatian kerana pembangunan modal insan lemah menyebabkan berlakunya peningkatan masalah sosial, peserta juga mahu masalah kebanjiran warga asing di Petaling Jaya diatasi kerana ia menjejaskan kehidupan penduduk tempatan.

Peserta juga mahu skim mikrokredit dilaksanakan untuk membantu golongan miskin serta dapat meningkatkan golongan orang kurang upaya (OKU) dan mereka juga mahu banyak pusat komuniti dibangunkan di kawasan perumahan.

Dialog seumpama itu diadakan di kesemua 12 PBT sejak lebih seminggu lalu.

Hari ini dialog diadakan di Klang Executive Club, Bukit Raja melibatkan Majlis Perbandaran Klang dan di Grand Hall Pusat Latihan Aset KWSP bagi kawasan Majlis Perbandaran Kajang.

Dengan mengambil kira pandangan pelbagai pigai, draf Pelan Hala Tuju Selangor 2011-2013 dijangka akan keluar bulan depan.

Buat julung kali pembentukan Hala Tuju Selangor melibatkan siri pembentangan awam di setiap 12 PBT di Selangor.

Wakil PBT, badan-badan berkanun tempatan, pemimpin-pemimpin industri, badan-badan keagamaan dan orang ramai dijemput menghadiri sesi dialog yang diadakan.

Orang ramai juga boleh memberikan idea atau pendapat bagi penambahabaikkan menerusi alamat selangor.blueprint@gmail.com yang tertumpu kepada tiga teras utama iaitu pembangunan, infrastuktur dan dasar ekonomi, tadbir urus baik dan ketelusan dan isu sosial dan pembangunan masyarakat.

Tiada ulasan: