Isnin, 13 September 2010

Pejabat Sosilawati lengang

BERNAMA

Pejabat Nouvelle Beauty Sdn Bhd di Jalan Raja Bot, Kampung Baru di Kuala Lumpur milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang turut menempatkan pusat rawatan muka dan spa ditutup hari ini, manakala perkarangan premis itu juga kelihatan lengang.

Tertera di pintu masuk pejabat tersebut hanyalah sekeping notis yang memaklumkan bahawa perniagaan ditutup sempena Aidilfitri bermula 10 September dan akan dibuka semula seperti biasa pada 15 September.

Sosilawati, 47, yang memperkenalkan produk kosmetik jenama Nouvelle Visages sejak 12 tahun kini mempunyai 300 cawangan di seluruh negara dan di sekitar Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Brunei.

Beliau bersama tiga lelaki iaitu pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Misteri kehilangan mereka akhirnya terungkai semalam selepas polis berjaya menahan lapan suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan yang disifatkan sebagai kejam apabila semua mangsa ditahan, dipukul sehingga mati, dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sebuah sungai di Kampung Kanchong Laut, Banting.

Sementara itu, suasana di bank CIMB di Kampung Baru di Kuala Lumpur, iaitu di mana Noorhisham Mohammad, salah seorang rakan Sosilawati yang menemui ajal bekerja, pula kelihatan seperti biasa sejak dibuka jam 8.30 pagi.

Seorang kakitangan bank berkenaan yang ditemui berkata, pemergian Noorhisham tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakan setugas.

Katanya, pemergian Noorhisham adalah satu kehilangan besar kepada bank tersebut kerana beliau adalah seorang pekerja yang sangat berdedikasi dan komited terhadap pekerjaannya.

"Saya percaya jika rakan setugas anda ''pergi'' pun mungkin perasaan sama akan dirasai," katanya.

Tiada ulasan: