Selasa, 7 September 2010

PBB Sarawak sokong Taib sebulat suara

BERNAMA


TAIB MAHMUD KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam menyuarakan sokongan tidak berbelah bagi kepada Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud untuk kekal sebagai presiden dengan menyatakan ini perlu untuk mengekalkan kestabilan politik dan memastikan pembangunan yang berterusan di Sarawak.

Timbalan Presiden Alfred Jabu berkata, sokongan disuarakan oleh semua ahli majlis tertinggi PBB dan semua pemimpin pelbagai segmen dari 71 cawangan parti.

"Sokongan ini diluahkan melalui ikrar taat setia dan sebuah resolusi yang dicapai dalam mesyuarat majlis tertinggi PBB yang dipengerusikan oleh Taib sendiri," katanya.

"Kami (ahli-ahli PBB) sebulat suara menyokong kepemimpinan Pehin Sri (Tan Sri) Abdul Taib Mahmud dan akan terus menyokong kepimpinan beliau dan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Jabu, yang juga timbalan ketua menteri Sarawak kepada para pemberita.

Taib, meninggalkan mesyuarat itu 10 minit lebih awal dan enggan bercakap dengan para pemberita yang telah menunggu sejak pagi lagi. Beliau menyerahkan tugas melayan pihak media kepada Jabu.


Tiada ulasan: