Khamis, 23 September 2010

PAS tentang keras cetus suasana tidak harmoni

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: PAS menentang keras sebarang bentuk tindakan yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni sama ada di dalam negara atau luar negara, kata Nasharudin Mat Isa.

Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan terbaru rakyat Indonesia melancarkan protes bermotosikal di luar kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta semalam untuk mengutuk penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia oleh majikan di Malaysia.

"Kita (PAS) menentang keras sebarang bentuk kekerasan ataupun keganasan. Kita harap ianya tidak berlanjutan kepada sebarang bentuk keganasan sebab dua negara ini saling memerlukan,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bachok itu juga berkata, kerajaan kedua-dua negara harus mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan kemelut yang melanda bagi mengelakkan lebih banyak pihak mengambil kesempatan di atas isu yang berlaku.

"Seperti mana yang kita buat baru-baru ini dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Indonesia, kita minta pemerintah kedua-dua negara meneruskan usaha untuk menyelesaikan isu-isu yang berbangkit dengan secepat yang mungkin dan tidak perlu untuk mengambil tempoh masa yang terlampau panjang.

"Mana yang boleh diselesaikan hendaklah diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan diplomatik yang ada," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penunjuk perasaan itu diperguna oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi.

"Kita percaya tindakan ini hanyalah daripada segelintir rakyat Indonesia yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan atas isu-isu yang berlaku dan mungkin diambil kesempatan oleh pihak yang ada kepentingan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak cepat memberikan respon negatif di atas apa yang berlaku sebaliknya bertenang sementara kerajaan kedua-dua negara menyelesaikan isu ini.

Semalam, kira-kira 500 anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mengepung kediaman Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan mendesak beliau meninggalkan Indonesia dalam masa dua hari.

Tindakan itu ekoran kes terbaru membabitkan rogol dan dera terhadap seorang pembantu rumah Indonesia.

Tiada ulasan: