Ahad, 5 September 2010

PAS lancar "Kempen Balik Kampung"

Rusli Yasmin
KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan PAS Pusat semalam melancarkan "Kempen Balik Kampung" dalam usaha membekalkan maklumat kepada ahli PAS di Lembah Klang untuk dibawa pulang ke kampung.

Kempen tersebut dilancarkan Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut di sini.

"Kempen ini bertujuan untuk membekalkan maklumat kepada ahli dan penyokong PAS yang tinggal di sekitar Lembah Klang untuk di bawah pulang ke Kampung sempena cuti Hari Raya," kata Idris.

Menurut beliau, ahli dan penyokong PAS yang mendapat risalah ini diharap akan menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat luar bandar yang banyak bergantung kepada media konvesional seperti radio dan televisyen.

Selain ucapan selamat hari raya, risalah ini turut fakta-fakta tentang pembangunan dan pembaharuan yang berjaya dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat selepas 2 tahun pemerintahan dan penerangan sebenar mengenai hala tuju perjuangan PAS.

Idris turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta media melaporkan berita berasaskan fakta, sedangkan laporan media arus perdana banyak yang menyimpang dari fakta sebenar.

"Media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan televisyen banyak memutar belit kenyataan dan maklumat sebenar.

"Oleh itu, dengan risalah yang kita edar ini dapat menyampaikan maklumat sebenar dan tepat kepada rakyat, terutamanya masyarakat diluar bandar" tambah beliau.

Risalah tersebut juga diletakkan di laman rasmi PAS, http://www.pas.org.my bagi memudahkan ahli-ahli PAS diperingkat cawangan, kawasan, dan negeri mengakses dan menyebarkannya di kawasan masing-masing.

Tiada ulasan: