Rabu, 8 September 2010

Panggil pulang warga kedutaan M'sia, kata KJ

BERNAMA


Pergerakan Pemuda Umno hari ini mahu kerajaan memanggil pulang warga Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia demi keselamatan mereka.

Ketua pergerakan Khairy Jamaluddin berkata perkhidmatan Malaysia di republik itu wajar dihentikan buat sementara sekiranya demonstrasi yang dibuat kumpulan aktivis Indonesia di hadapan bangunan kedutaan masih tidak dihalang.

"Faktor keselamatan adalah penting dalam meneruskan perkhidmatan kedutaan di negara itu. Setiap hari, bangunan Kedutaan Malaysia di Indonesia menjadi sasaran kumpulan aktivis tersebut untuk membuat demonstrasi dan keadaan ini membimbangkan.

"Semalam pun, kedutaan kita telah diceroboh masuk, mereka memanjat tembok di hadapan kedutaan kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 240 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Beliau berkata tiada tanda isu itu dapat diselesaikan segera walaupun perbincangan di antara Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Indonesia Dr Marty Natalegawa diadakan di Kota Kinabalu pada Isnin lalu.

Dilaporkan kedua-dua menteri berkenaan bersetuju supaya diusahakan satu Prosedur Standard Operasi (SOP) dan peraturan penglibatan (ROE) sebagai garis panduan apabila mengendalikan petugas masing-masing di kawasan sempadan perairan, agar insiden 13 Ogos lalu tidak berulang.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk melibatkan Badan Koordinasi Keamanan Laut (Bakorkamla) dari Indonesia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dalam struktur jawatankuasa Sempadan Am yang sedia ada bagi tujuan itu.

Malaysia turut meminta Kementerian Luar Republik Indonesia mewujudkan satu zon keselamatan antara premis Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan ketenteraman harta serta pegawai-pegawai di situ terjamin.

Mengulas lanjut, Khairy berkata walaupun SOP dipersetujui kedua-dua negara tetapi kandungannya tidak menyentuh tentang apa yang berlaku sekarang.

"Apa guna kita cakap tentang SOP sedangkan masalah pokoknya sekarang ialah serangan terhadap kedutaan kita dan penghinaan terhadap pentadbiran kita seperti bendera negara kita tidak dapat ditangani," katanya.

Katanya, beliau yakin pihak keselamatan Malaysia tidak akan membiarkan perkara seperti itu berlaku di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

"Tetapi di Indonesia, kita tidak mendapat jaminan yang sama dan seperti pihak keselamatan di sana tidak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan demonstrasi ini," katanya.


Tiada ulasan: