Sabtu, 18 September 2010

Pencalonan: Wan Azizah kuasai semua sembilan, Azmin dan Zaid di depan

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR— Kesemua sembilan cabang PKR di Kedah dan Kelantan, yang mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing hari ini, memberikan pencalonan kepada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar mempertahankan jawatan beliau.

Bagi jawatan timbalan presiden — kerusi yang menjadi perhatian ramai kali ini — Naib Presiden Azmin Ali menerima empat pencalonan.

Beliau disusuli dengan tiga pencalonan oleh anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Datuk Zaid Ibrahim manakala seorang lagi Naib Presiden Mustafa Kamil Ayub dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua masing-masing satu.

Jawatan timbalan presiden kini kosong ekoran keputusan penyandangnya Senator Dr Syed Husin Ali tidak mahu mempertahankan kedudukannya.

Kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan juga kosong selepas penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd Akin memutuskan mahu bersaing kerusi naib presiden yang menawarkan empat tempat.

Buat julung kali PKR mengadakan pemilihan langsung melibatkan undi setiap ahli. Seramai 400,000 ahli akan memilih pemimpin pusat mulai hujung bulan depan hingga minggu ketiga November.

Setakat dua orang termasuk Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Cabang-cabang PKR, kesemuanya 218, memulakan mesyuarat agung tahunan hari ini.

Esok sekitar 40 cabang akan mengadakan pertemuan masing-masing.

Azmin menerima masing-masing dua pencalonan dari Kedah dan Kelantan.

Zaid pula menerima satu dari Kedah dan dua dari Kelantan.

Sepatutnya 10 cabang mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini — masing-masing lima di Kedah dan Kelantan, tetapi pertemuan Pengkalan Chepa ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum.

“Bagi jawatan timbalan presiden, pencalonan di Kedah “bercampur-campur”. Dr Wan Azizah sapu bersih, kata Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim ketika dihubungi.

Di Kedah, Azmin mendapat pencalonan cabang Kubang Pasu dan Langkawi manakala Mustafa dicalonkan oleh Kuala Kedah.

Zaid dan Chua masing-masing menerima pencalonan Alor Star dan Pokok Sena.

“Daripada lima cabang yang bermesyuarat (di Kedah) hari ini, Azmin mendapat dua pencalonan, masing-masing Zaid, Mustafa dan Tian Chua satu,” kata Ahmad kepada The Malaysian Insider lewat petang ini.

Esok, satu lagi cabang iaitu Kulim-Bandar Baharu dari negeri Kedah akan mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Bagi jawatan naib presiden pula kata Ahmad, Kuala Kedah mencalonkan Azmin, Shamsul Iskandar, Dr Lee Boon Chye dan Yahya Shaari.

Langkawi menamakan Datuk Dr Mansor Othman, Fuziah Salleh, Datuk Seri Chua Jui Meng dan Senator Ir Zamri Yusof manakala Kubang Pasu pula mencalonkan Mustafa, Dr Lee, Shamsul Iskandar dan Mansor.

Cabang Alor Star menamakan Shamsul Iskandar, Fuziah, Dr Lee dan R. Sivarasa dan Pokok Sena (Dr Lee, Azmin, Sivarasa dan Zaid).

Dr Lee dan Sivarasa juga naib presiden manakala Fuziah pula Pengarah Pilihan Raya PKR.

Di Kelantan, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wan Azizah menerima pencalonan cabang Kota Baru, Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang.

Kota Baru mencalonan Zaid untuk kerusi timbalan presiden manakala Nurul Izzah Anwar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Sivarasa dan Mustafa bagi jawatan naib presiden.

Pasir Mas menamakan Azmin (timbalan presiden) manakala Mustafa, Shamsul Iskandar, Mansor dan Fuziah (naib presiden).

Tumpat mencalonan Zaid (timbalan presiden) sementara Azmin, Sivarasa, Nurul Izzah dan Chua (naib presiden).

Rantau Panjang pula mencalonkan Azmin (timbalan presiden), dan Fuziah, Mustafa, Mansor dan Shamsul Iskandar (naib presiden).

Tiada ulasan: