Rabu, 22 September 2010

Nurul Izzah Tolak Usaha Media Lagakan Dengan Ayah


Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar membidas usaha laporan media arus perdana dan juga beberapa laman web yang dilihat cuba mewujud suasana tidak selesa antara beliau dan keluarganya berhubung isu perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti November depan.

Beliau dengan tegas menolak segala tohmahan media yang mengatakan terdapat pergeseran pendapat antara beliau dan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut sambil berkata usaha seperti itu tidak akan berjaya.

Kata Nurul beliau sebagai ahli parlimen muda dan ayahnya selaku Ketua Pembangkang sentiasa mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu berkenaan politik dan pentadbiran negara.

Perbezaan pendapat sedikit sebanyak adalah lumrah dunia hatta sekali pun antara anak dan ayah tetapi yang penting ikatan kasih sayang kekeluargaan tetap utuh dan tidak mungkin digugat oleh mana-mana pihak, kata beliau.

"Pada saya, mereka cuba menggunakan cara itu untuk menyerang pucuk pimpinan parti di samping menimbulkan pelbagai isu untuk mewujudkan suasana ketegangan pemilihan pucuk pimpinan yang berlangsung sekarang ini.

"Apa yang didakwa media itu tidak benar sama sekali dan saya menafikan sebagaimana yang dilaporkan media kononnya berlaku perselisihan faham," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Kata Nurul Izzah anggota KEADILAN yang berjumlah kira-kira 400,000 orang adalah sebahagian daripada 11 juta pengundi yang menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin di dalam satu proses bebas dan telus.

Mereka yang tidak ingin melihat KEADILAN muncul sebagai parti masa depan dan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat akan berusaha melalui bermacam-macam cara untuk melemahkan parti.

KEADILAN yang mempunyai 218 Cabang seluruh negara akan mengadakan dua pemilihan berasingan iaitu di peringkat Cabang dan pemilihan di peringkat Pusat.

Pemilihan bermula dari 17 September hingga 21 November ini.

Tahun lepas, KEADILAN meminda perlembagaannya untuk membolehkan ahli mengundi memilih secara terus barisan pimpinan tertinggi parti.

Tiada ulasan: