Khamis, 23 September 2010

Nurul Izzah sahkan tanding kerusi naib presiden PKR

TERKINI

KUALA LUMPUR — Anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah hari ini mengumumkan yang beliau akan bertanding jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang julung kali mengadakan pemilihan menggunakan sistem langsung.

Anak sulung pasangan Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu bagaimanapun menekankan, beliau memutuskan untuk bertanding jawatan naib presiden bukan kerana mahu meneruskan dinasti keluarganya dalam PKR, yang ditubuhkan 12 tahun lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu (gambar) menekankan beliau mengambil pendirian ini atas pegangan sendiri.

“Saya anak Anwar Ibrahim dan saya tidak boleh memadamkan hakikat itu.

“Tetapi saya juga anak Reformasi,” kata beliau yang pernah dipanggil “Puteri Reformasi” selepas Anwar dipecat dari jawatan kerajaan dan Umno pada 1998.

“Atas semangat reformasi, saya meneruskan perjuangan ini.

“Saya berdiri atas diri sendiri,” katanya.

Ibu kepada dua anak ini menafikan bahawa beliau telah berubah pendirian sebelum ini bahawa tidak akan bertanding mana-mana jawatan kanan parti.

PKR menawarkan empat kerusi naib presiden yang dipilih.

Cabang-cabang sedang dalam proses membuat pencalonan manakala pengundian secara berperingkat melibatkan 400,000 ahli akan diadakan mulai akhir bulan depan.

Kongres khas PKR melibatkan pemilihan berlangsung akhir November.

“Saya tidak mahu mengatakan ia sebagai tindakan berpusing balik. (Tetapi) selepas menerima pencalonan, saya dengan serius menawarkan diri mahu bertanding (jawatan naib presiden),” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Setakat Ahad lalu, beliau telah menerima lapan pencalonan.

Seseorang yang ingin bertanding mana-mana jawatan hanya memerlukan minimum dua pencalonan.

Nurul Izzah menekankan bahawa beliau mempunyai pandangan sendiri mengenai masa depan politik Malaysia.

Oleh itu katanya, langkah bertanding kerusi tertinggi parti merupakan salah satu cara.

“Saya merasakan saya mewakili generasi muda dalam parti,” kata pemimpin muda berusia 30 tahun ini pada sidang media di pusat khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini petang ini.

Nurul Izzah juga menekankan, beliau pernah menyaksikan gerakan “reformasi” yang pertama 12 tahun yang lalu dan perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang sedekad lalu.

Beliau merupakan salah seorang daripada 15 pemimpin yang layak bertanding kerusi naib presiden.

Selain beliau, turut layak ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Chua Jui Meng, Chua Tian Chang, Fuziah Salleh, Dr Lee Boon Chye, Datuk Dr Mansor Othman, Azmin Ali, Yahya Saari, Mustaffa Kamil Ayub, S. Manikavasagam, Shamsul Iskandar Mohd Akin, R. Sivarasa, Datuk Zaid Ibrahim, dan Dr Xavier Jayakumar.

Tiada ulasan: