Isnin, 13 September 2010

Nik Nazmi: Pemilihan Langsung PKR Pusing Awal ‘Pilih Calon’ PRU

TV SELANGOR

PETALING JAYA
– Pemilihan langsung bersejarah PKR tahun ini, yang membolehkan setiap ahli PKR mengundi, akan menjadi platform untuk mengenal pasti calon-calon berpotensi pilihan raya umum ke-13, sekali gus mengelakkan kelemahan dan kesilapan dua tahun lalu.

PKR yang mencatatkan prestasi bersejarah pada Mac 2008 sejak kewujudan parti itu lebih sedekad lalu berhadapan dengan tindakan keluar beberapa ADUN dan Ahli Parlimen.

Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengakui kesilapan dalam memilih calon pilihan raya umum 2008 tetapi mereka tiada pilihan kecuali mengambil mereka yang bersedia untuk menghadapi cabaran dua tahun lalu.

Pemilihan langsung PKR bermula 17 September ini membabitkan 218 cabang manakala pengundian pemilihan pusat akan bermula akhir bulan depan.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemilihan langsung ini adalah antara cara terbaik bagi pemimpin-pemimpin yang dipilih membuka laluan untuk menjadi calon pilihan raya umum akan datang.

“Kami mengaku kelemahan-kelemahan kami. Sebelum ini kami tidak cukup calon yang terbaik, tetapi ini sudah tidak menjadi masalah kepada kami sekarang,” kata beliau.

Bagaimanapun ADUN Sri Setia ini memberitahu, berbanding dua tahun yang lalu PKR tidak berhadapan dengan bilangan yang layak dan mencukupi untuk bertanding dalam pemilihan dan mereka yang berpotensi untuk menjadi calon pilihan raya umum ke-13.

Nik Nazmi yang akan mempertahankan kerusi timbalan ketua cabang Kelana Jaya berkata, pemilihan langsung akan membolehkan mereka yang dicalonkan untuk membuktikan mereka sememangnya layak untuk memimpin.

“Ia seolah-olah pusingan awal... mereka yang dipilih di peringkat akar umbi dan berupaya untuk berkempen di peringkat pemilihan, akan muncul sebagai calon terbaik dalam pilihan raya umum,” katanya.

PKR merupakan parti politik pertama negara ini mengadakan pemilihan langsung. Parti itu meminda perlembagaannya tahun lalu untuk membolehkan pemilihan langsung membabitkan 400,000 ahli diadakan.

Awal tahun ini, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata parti itu mempunyai pendekatan ‘ajaib’ untuk menepis tanggapan kebanyakan pihak bahawa parti itu tidak mungkin dapat mengulangi prestasi Mac 2008.

Fuziah juga berkata “perkhidmatan kreatif” akan menjadi kunci utama pihaknya menghadapi BN dalam pilihan raya umum akan datang.-THE MALAYSIAN INSIDER

Tiada ulasan: