Ahad, 26 September 2010

Nelayan mahu subsidi petrol ditambah


IMG_2825 Oleh Muda Mohd Noor

KUALA SELANGOR: Walaupun ikan dan udang tangkapan nelayan pantai Kuala Selangor dan Tanjung Karang dijual di negeri lain termasuk Singapura tetapi mereka tidak mampu membeli perahu, enjin dan pukat sendiri.

Mereka mendapat subsidi petrol RM33,000 setahun tetapi mendakwa sangat sedikit berbanding pukat tunda berjumlah RM700,000.

Subsidi untuk nelayan ialah RM1.25 untuk seliter petrol. Jumlah subsidi bergantung kepada kuasa kuda perahu. Semakin besar kuasa kuda semakin banyak subsidi.

Berikutan itu, mereka meminta kerajaan menambah subsidi kepada jumlah yang lebih besar supaya beban mereka menanggung kos petrol berkurangan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahman menyifatkan skim subsidi petrol untuk nelayan sebagai, "orang kaya bertambah kaya, orang miskin tetap miskin."

"Tetapi jika tidak ada subsidi, nelayan kecil seperti kami ini akan hidup merana. Dalam ada subsidi pun, hidup kami tetap susah," katanya ketika ditemui di sini, Rabu lalu.

Jumlah nelayan pantai di Kuala Selangor dan Tanjung Karang seramai 1,058 orang yang kebanyakannya orang Melayu.

Nelayan di kawasan ini mula ke laut menggunakan perahu pada jam 6.00 pagi dan pulang semula sekitar jam 4.00 petang, bergantung kepada hasil tangkapan dan cuaca.

Hasil tangkapan tidak menentu

IMG_2824 Tetapi hasil tangkapan memang tidak menentu, ada kalanya berpuluh kilogram tetapi banyak juga yang tiada tangkapan langsung.

"Berbanding dahulu, hidup kami lebih baik sedikit. Dulu naik basikal, sekarang semua ada motosikal.

"Dulu nak dapat RM300 pun payah, tetapi kini purata RM1,000 sebulan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Omar, nelayan masih mengeluh dan merungut kerana mereka tidak mampu untuk membeli perahu, enjin dan pukat.

Beliau berkata, masalah ini berlaku kerana mereka tidak boleh membeli secara ansuran.

"Ini yang susah sedikit, semua kena bayar secara cash (tunai). Sebuah perahu dan enjin 60 kuasa kuda RM14,000, manakala pukat 60 keping RM8,000.

"Tetapi kena beli secara tunai, nelayan nak cari mana wang sebanyak itu?," katanya.

Bantuan untuk nelayan Kuala Selangor dan Tanjung Karang sehingga ini diberi oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Terbaru, Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar yang juga ahli parlimen Tanjung Karang memberi lima sampan kepada nelayan di kawasan berkenaan.

"Kita mohon 13 biji perahu tetapi yang lulus lima," kata Omar.

Tiada ulasan: