Khamis, 23 September 2010

Nelayan kecewa dengan kerajaan negeri Selangor


IMG_2830 Oleh Muda Mohd Noor

KUALA SELANGOR: Bagi 44 keluarga nelayan di Kampung Baru, Kuala Selangor kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat membawa mimpi ‘ngeri’ buat mereka.

Berbanding kerajaan negeri Selangor menurut mereka, kerajaan pusat lebih banyak membantu nelayan di kampung itu yang rata-rata masih dibelenggu kemiskinan dengan pendapatan hanya dalam lingkungan RM1,000 sebulan.

Namun, pendapatan itu tidak menentu kerana mereka juga berdepan dengan masalah kecurian perahu, enjin dan pukat nelayan sejak kebelakangan ini.

Tetapi masalah utama ialah tanah tapak rumah yang mereka duduki sejak berpuluh tahun lalu sudah menjadi milik kerajaan negeri apabila lesen menduduki sementara (TOL) dibatalkan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri sudah tidak memungut bayaran TOL sebanyak RM100 sebulan sebagaimana kerajaan Barisan Nasional dahulu.

"Ini bermakna kerajaan negeri boleh mengambil tanah ini pada bila-bila masa. Status TOL itu nampaknya telah terbatal dengan sendiri.

"Kerana masalah tanah, kami tidak boleh membina dan mengubahsuai. Kami tidak boleh berbuat demikian kerana pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan kami membina rumah baru," katanya.

Omar berkata, tanah yang nelayan tinggal itu adalah tanah rezab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang tidak digunakan.

Masalah hak milik tanah

umah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu membantu penduduk membina rumah baru tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana masalah hak milik tanah.

"Menterinya, Datuk Seri Noh Omar sendiri mahu membantu tetapi kerana masalah tersebut ia terpaksa ditangguhkan sehingga masalah itu selesai.

"Jadi nelayan berharap, kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan nelayan supaya memberikan semula hak milik TOL kepada mereka.

"Hak milik TOL pun sudah baik kerana kami sudah memberitahu Datuk Seri Noh supaya membina sebuah perkampungan nelayan di kawasan ini," katanya.

Manakala masalah kedua ialah permohonan untuk mendapatkan bantuan membeli perahu, enjin dan pukat kepada 26 nelayan ditolak tanpa sebarang alasan.

Mengenai permohonan nelayan untuk mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri, Omar berkata, pihaknya telah menghantar senarai 26 nelayan untuk mendapatkan bantuan RM26,000 seorang.

Katanya, permohonan itu adalah untuk membeli perahu, enjin dan pukat untuk 26 nelayan yang dikenalpasti amat memerlukan bantuan tersebut kerana tidak mampu membeli sendiri.

"Tetapi kerajaan negeri menghantar surat menolak permohonan tersebut dan meminta merujuk kepada LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia)," katanya.

Mengulas lanjut, Omar berkata, nelayan di sini bukan semuanya orang Umno, ada juga ahli dan penyokong PKR.

Katanya, tidak ada seorang pun pegawai kerajaan negeri yang datang meninjau masalah nelayan di Kampung Baru, Kuala Selangor walaupun telah memerintah sejak dua tahun lalu.

Tiada ulasan: