Selasa, 21 September 2010

Najib: Umno, BN Selangor perlu bersikap terbuka dekati rakyat



Najib Razak (tengah) beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Kempen Hari Raya ‘Go Green’ dan Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam malam tadi. - Foto Bernama
SHAH ALAM — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa sokongan rakyat terhadap kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) terutamanya di Selangor semakin bertambah.

“Saya tidak tahu macam mana hendak membuat tafsiran (sokongan) apabila melihat begitu ramai yang yang hadir menyertai program ini.

“Sokongan yang ditunjukkan rakyat pada malam ini seolah-olah mengembalikan nostalgia dan saya percaya Umno-BN akan kembali memerintah Selangor.

“Kalau program pada malam ini boleh dijadikan kayu pengukur sokongan rakyat Selangor, saya yakin Umno-BN akan kembali memegang tampuk pemerintahan negeri ini tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada program Kempen Hari Raya ‘Go Green’ dan Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri anjuran Badan Perhubungan Umno Selangor di Dewan Alamanda Seksyen 20 di sini, malam tadi.

Beliau juga menyarankan agar pemimpin-pemimpin Umno-BN menguatkan keazaman dan tekad dengan lebih gigih supaya dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti itu.

“Bagi saya tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan, bak kata pepatah Melayu yang pipih tidak akan terbang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek.

“Hanya kepada mereka yang sanggup berjuang sahaja baru kejayaan akan dicapai,” katanya di hadapan kira-kira 2,000 orang yang hadir.

Presiden Umno itu juga berkata bahawa rakyat boleh bergantung kepada Umno-BN kerana selama ini parti itu sudah memberikan banyak kejayaan kepada negara.

“Selama ini kita telah melakukan banyak perubahan termasuk dari aspek ekonomi dan sebagainya.

“Malah pembaharuan yang kita laksanakan untuk rakyat mampu membawa negara mencapai wawasan 2020 dan negara yang berpendapatan tinggi.

“Kerajaan Umno-BN mampu membawa perubahan yang lebih besar dan kita bersedia untuk memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Najib juga menyarankan pemimpin-pemimpin Umno-BN supaya lebih bersikap terbuka dalam semua aspek termasuk politik.

“Pemimpin Umno-BN perlu berfikiran terbuka, buka minda kepada semua aspek pengetahuan.

“Kita juga perlu menggunakan kaedah dan pemikiran yang baru kerana kita perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang progresif dan dinamik yang segar dengan imej dan idea-idea baru.

“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang mengamalkan cara lama. Jadi kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa kita sedia berubah,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor Datuk Seri Noh Omar.

“Kita jangan peduli kepada pembangkang yang sekarang ini dilihat semakin kepanasan dan bergelumang dengan tuduhan antara satu sama lain.

“Kalau dulu mereka kata kita ada masalah tetapi sekarang mereka sendiri yang alaminya. Apa yang penting kepada Umno-BN sekarang adalah mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sengketa sesama kita demi masa depan parti dan juga rakyat,” kata Najib.

Tiada ulasan: