Jumaat, 17 September 2010

Najib lantik dua ‘pakar’ media, perkenal blog baru perkukuh 1 Malaysia


KUALA LUMPUR, 17 Sept — Dua wartawan veteran, Datuk Khalid Mohamed dan Abdul Jalil Abdul Hamid, yang pernah berkhidmat bersama Reuters, akan menyertai unit komunikasi Pejabat Perdana Menteri bulan depan untuk memperkukuhkan pasukan 1 Malaysia yang sebelum ini melibatkan firma perhubungan awam antarabangsa APCO Worldwide.

Datuk Seri Najib Razak juga memperkenalkan reka bentuk baru blog peribadinya www.1malaysia.com.my semalam sempena sambutan Hari Malaysia yang ditubuhkan dengan gandingan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.

Singapura keluar dua tahun kemudian.

Najib memperkenalkan konsep 1 Malaysia ketika mengambil alih pentadbiran pada April 2009 dan kemudian Model Baru Ekonomi (MBE) — sebagai sebahagian daripada pendekatannya mendekati hati rakyat pelbagai kaum, tetapi kebelakangan ini dilihat menghadap ‘tentangan’ kelompok tertentu.

The Malaysian Insider difahamkan Khalid, yang mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang kewartawanan termasuk 10 tahun sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan akan memainkan peranan dalam pasukan media khususnya berkaitan dengan komunikasi membabitkan kelompok orang Melayu yang dilihat ‘kurang senang’ dengan konsep 1 Malaysia.

Khalid bersara dari Kumpulan Utusan pada Julai 2008 dan sejak itu memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka.

“Saya boleh mengesahkan bahawa beliau akan menyertai pasukan perhubungan awam Perdana Menteri. Saya tidak pasti apakah peranan beliau yang sebenarnya, tetapi pastinya akan bersama pasukan media Perdana Menteri,” kata satu sumber Jabatan Perdana Menteri kepada The Malaysian Insider.

Sumber itu menambah, kehadiran Khalid dimaklumkan secara rasmi bulan lalu tetapi tidak diberitahu tentang tujuan atau fungsi pasukan tersebut.

“Saya tidak tahu sejauh mana pentingnya peranan Khalid, tetapi setahu saya beliau adalah tambahan kepada pasukan perhubungan awam Perdana Menteri semasa yang diketuai oleh Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad,” kata sumber itu.

Khalid dan Tengku Sharifuddin tidak menjawab panggilan telefon The Malaysian Insider berhubung perkembangan ini.

Selain mereka, bekas setiausaha akhbar Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Jalaluddin Bahaudin dan bekas timbalan ketua pengarang Nanyang Siang Pau Joan Lai Siew Choo menyertai pasukan komunikasi Najib pada 16 September 2009 masing-masing sebagai penasihat media dan setiausaha akhbar.

Difahamkan Abdul Jalil dipinjamkan dari Suruhanjaya Sekuriti yang beliau berkhidmat sebagai pengurus besar Jabatan Hal Ehwal Korporat sejak 2009.

Abdul Jalil memulakan kerjayanya di Bernama pada 1980-an sebelum menyertai Reuters sedekad kemudian.

Beliau baru-baru ini mengetuai pengurusan krisis di suruhajaya itu selepas beberapa pemberita bisnes disoal siasat Jun lalu berhubung isu Kenmark Industrial Bhd. Bekas penyandang jawatan itu, Datuk Hardev Kaur, yang pernah berkhidmat di New Straits Times dan Business Times, kini merupakan pegawai khas kepada Najib di Kementerian Kewangan.

Difahamkan, Najib mengambil berat soal sokongan orang Melayu, khususnya pihak konservatif dan aktivis pertubuhan hak orang Melayu yang membidas MBE.

Najib juga dikatakan telah meminta rakan-rakannya dalam Umno agar menyediakan asas kukuh dan menjelaskan dasar-dasar pentadbirannya, tetapi baru-baru ini memutuskan lebih banyak pakar perlu diambil untuk mengembangkan mesej yang beliau hendak bawa.

Pelantikan terbaru ini muncul ketika Pakatan Rakyat (PR) menimbulkan soal peningkatan kos operasi Jabatan Perdana Menteri.

Pada 15 Julai lalu, pentadbiran Najib memaklumkan Parlimen bahawa ia telah diperuntukkan RM3.956 bilion tahun ini untuk mengisi operasi kewangan Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming berkata peningkatan kos operasi adalah ekoran pewujudan agensi-agensi baru di Jabatan Perdana Menteri selain kerana pertambahan jawatan dalam beberapa agensi yang sedia wujud.

Bilangan kakitangan awam di Jabatan Perdana Menteri juga meningkat dari 21,045 pada 2003 kepada 43,544 orang tahun ini.

Pada 6 Julai lalu The Malaysian Insider melaporkan bahawa pentadbiran Najib telah memperbaharui kontrak APCO untuk tempoh selama setahun lalu meskipun PR mendakwa fitma itu ada kaitan dengan unit risikan Israel.

Tiada ulasan: