Rabu, 22 September 2010

MP Sabah mahu bangkit isu projek mega RM2.4b SOGT di Parlimen

THE MALAYSIAN INSIDER


Abdullah dikatakan pernah menjamin bahawa sumber gas Sabah tidak akan disalurkan ke Sarawak. — Foto Reuters

KUALA LUMPUR — Projek mega RM2.4 bilion untuk membina terminal minyak di Kimanis telah mencetuskan rasa tidak senang mendalam di Kota Kinabalu dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari negeri itu dijangka secara terbuka membawa isu berkenaan ke Dewan Rakyat bulan depan.

Mereka dijangka membangkitkan keputusan memberi kontrak kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud.

Pada 1 September lalu, Naim Holdings Bhd mengumumkan bahawa Samsung-Naim JV, syarikat usaha sama antara subsidiarinya NCSB

Engineering Sdn Bhd dan Samsung Engineering Co Ltd, telah mempeorleh kontrak bernilai AS$766.39 juta (RM2.4 bilion) daripada Petronas Carigali Sdn

Bhd untuk menyediakan perkhidmatan projek Sabah Oil and Gas Terminal, salah satu projek infrastruktur terbesar negara ini.

“Tiada sebab mengapa bidaan dari Sabah tidak diberi peluang kerja ini. Mengapa sebuah syarikat dari Sarawak diberikan projek di Sabah?

“Ini bermakna lebih banyak hasil kekayaan akan beralih keluar dari Sabah,” kata seorang MP Umno dari Sabah kepada The Malaysian Insider.

Wakil rakyat itu menegaskan, beliau dan rakan-rakannya bercadang untuk membawa isu berkenaan ke Parlimen apabila ia mula bersidang bulan depan.

Beberapa wakil rakyat juga mengesahkan bahawa mereka tidak gembira dengan perkembangan itu selain mendapati sukar untuk mempertahankan BN daripada serangan dan kritikan Pakatan Rakyat.

Pentadbiran Najib mahu mengelakkan suasana tidak senang seperti itu daripada negeri tersebut yang dianggap sebagai “simpanan tetap” BN dalam usaha perikatan tersebut kekal di Putrajaya.

Dalam pilihan raya 2008 BN menang kurang undi berbanding parti-parti PR BN di Semenanjung tetapi mengekalkan penguasaan di Parlimen ekoran sokongan daripada Sabah dan Sarawak.

Aspek simpanan tetap itu juga ditekankan oleh Datuk Seri Najib Razak ketika berada di Sabah sempena sambutan Hari Malaysia Khamis lalu.

Perdana Menteri diipercayai sedang mempertimbangkan kemungkinan memanggil pilihan raya awal tahun depan.

Difahamkan firma usaha sama Sabah telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat dari China untuk membida projek berkenaan.

Sumber-sumber memberitahu harga bidaan syarikat Sabah-China itu kurang AS$50 juta berbanding dengan syor Naim Cendera.

Rasa tidak puas hati di Sabah juga muncul di sebalik spekulasi bahawa kos akhir kemungkinan RM4 bilion.

Syarikat minyak negara mengeluarkan bidaan awal tahun ini selepas terhenti tiga tahun bagi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penugasian.

Undangan bidaan pada 2007 ditarik balik ekoran “sebab-sebab teknikal.”

Difahamkan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman, yang juga Menteri Luar dan seoranga anggota utama dalam Kabinet Najib berhadapan dengan tekanan politik ekoran pemberian projek berkenaan kepada Naim.

Anifah merupakan antara wakil rakyat yang menjadi tumpuan dalam kontroversi membangkitkan sikap tidak ambil berat kerajaan pusat terhadap Sabah — isu yang timbul selepas pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Pada 15 Ogos lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata terpeluang kepada kerajaan negeri Sabah untuk memastikan sumber gas kekal di negeri itu dan tidak disalurkan ke Sarawak menerusi projek pembinaan saluran gas dari Kimanis-Bintulu.

Beliau mengulangi bahawa di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan pusat bersetuju supaya projek itu diteruskan dengan Sabah diberi keutamaan jika negeri itu memerlukan bekalan gas.

“Ada jaminan bahawa bekalan gas tidak disalurkan ke Bintulu di Sarawak menerusi saluran gas itu jika terdapat keperluan bekalan itu di Sabah. Abdullah cakap jaminan ini dari Petronas sendiri.

“Jadi ini bukanlah sama ada Petronas enggan menjalankan apa yang diwajibkan kerajaan, tetapi kerajaan negeri sendiri perlu pastikan bekalan gas ini dapat digunakan di Sabah,” katanya.

Pandangan itu diberikan ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang, Melaine Chia berkata kerajaan negeri tidak harus bersetuju atau membenarkan Petronas menyalurkan gas asli dar luar persisiran Sabah ke Bintulu jika ia benar-benar serius untuk membangunkan industri gas dan minyak tempatan.

Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Raymond Tan Shu Kiah pernah berkata Petronas akan hanya setuju untuk membenarkan Sabah menyimpan sebahagian daripada gas yang dilsaurkan ke Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis, jika ia mampu membina infrastruktur dan tenaga kerja bagi menyokong industri minyak dan gas di Sabah.

Chia mendesak Tan, yang juga Naib Presiden Gerakan, untuk memujuk presiden partinya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon supaya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Petronas menghentikan projek pembinaan saluran gas Kimanis-Bintulu.

Malah, pada akhir bulan lalu beberapa ahli politik dan industri dari Sabah memberitahu The Malaysian Insider bahawa Petronas Carigali bertindak tidak adil kepada Sabah jika betul ia memenganugerahkan projek mega SOGT di Kimanis kepada sebuah syarikat Sarawak.

Ahli politik dan industri berkata tindakan itu seolah-olah membelakangkan kepentingan kontraktor tempatan dan penduduk Sabah secara keseluruhannya yang berharap untuk turut meraih manfaat daripada projek yang dibuat di atas tanah mereka sendiri.

14 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Tak dinafikan bahawa Sarawak mempunyai lebih banyak pengalaman dalam industri minyak dan gas. Tapi sekurang-kurangnya membenarkan Sabah menjadi partner dalam projek-projek besar ini supaya kita juga boleh mendapatkan pengalaman dalam industri ini.

Anak Sabah berkata...

Lagipun, Sabah adalah pengeluar minyak dan gas, sepatutnya kita diberikan peluang memproses minyak dan gas kita sendiri. Saya yakin kita pasti boleh melakukannya.

Tanpa Nama berkata...

projek minyak ini dijalankan di negeri Sabah, kontraktor sabah perlu diberi keutamaan dan untuk melaksanakan projek ini. Sabah pasti boleh melakukannya.

joey berkata...

kontraktor tempatan Sabah haruslah diberikan peluang untuk sama-sama terlibat dalam projek mega ini.

Tanpa Nama berkata...

inilah peluang untuk orang sabah menjana pendapatan, namun amat mengecewakan, tender projek ini diberikan kepad orang luar. orang sabah perlu diberi peluang dan kepercayaan menjalankan projek ini.

2718 berkata...

saya teringin untuk mendengar penjelasan dari kerajaan pusat atau petronas berhubung dengan isu projek ini. atas alasan apa kontraktor Sabah tidak diberikan peluang untuk terlibat membangunkan projek mega ini..

zam berkata...

peluang harus diberikan kepada kontraktor Sabah untuk terlibat sama dalam membangunkan projek ini.

langsat berkata...

Projek mega ini baik diberi peluang kepada kontraktor sabah kerana kontraktor dari sabah juga mempunyai kredibiliti dan keupayaan menyiapkan projek tersebut.

langsat berkata...

Diharap perkara ini dapat dipertimbangkan bagi memberi peluang kepada kontraktor sabah.

Paquin berkata...

Bah bawa, jangan tak bawa isu ni. hihihi

Paquin berkata...

Saya harap keutamaan diberikan pada kontraktor Sabah. Bukannya bias tapi saya rasa kontraktor Sabah pun patut dapat projek besar juga bah. hehehe

Paquin berkata...

Betul juga tu Jonny. Sabah adalah pengeluar memang patut diberi peluang bah. Saya yakin Sabah boleh!!!

Paquin berkata...

Semoga hal ni dapat pertimbangan sewajarnya. Bukannya mempertikaikan keputusan kerajaan pusat tapi ada baiknya hal ni diteliti supaya keluhan rakyat dapat didengar dan ditanggani dengan baik.

Paquin berkata...

Saya harap kerajaan dapat beri penjelasan bagi mengelakkan salah faham timbul. Memanglah setiap perkara tu dibuat berdasarkan alasan yang munasabah, tapi berilah penjelasan agar rakyat Sabah tahu keadaan sebenar.