Ahad, 19 September 2010

Media perdana takut lapor perkara sebenar

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap wartawan masa kini dapat membuat keputusan sendiri dalam membuat laporan berita dalam konteks negara Malaysia.

Ini, katanya kerana banyak media arus perdana tidak melaporkan perkara yang sebenar terutamanya apabila berkaitan dua kumpulan besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

“Kita lihat di negara kita kini, media arus perdana begitu takut untuk melaporkan perkara sebenar, oleh itu saya rasa wartawan yang hadir malam ni kena fikir balik dan jangan lagi duduk dalam akhbar yang bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah dan politik dunia semata-mata,” ujar beliau pada majlis dialog dengan wartawan sempena Idulfitri di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS membuat perbandingan dua akhbar arus perdana di mana ada yang hanya menyiarkan berita dari pihak kerajaan Pusat sahaja dan satu lagi menyiarkan bagi kedua-dua pihak.

Ini, katanya menyebabkan rakyat Kelantan kini semakin kurang memilih akhbar yang hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.

Semasa sesi dialog dibuka, wakil akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Bernama, Harakah, Sin Chew Daily dan Astro Awani mengambil bahagian untuk bertanyakan pelbagai isu dan dijawab mesra oleh Menteri Besar.

Di antara isu yang dibangkitkan ialah ada akhbar arus perdana yang seolah-olah dipinggirkan dalam program Menteri Besar dan kesukaran mendapat maklumat tepat dari pihak kerajaan negeri dalam pelbagai isu.

Nik Aziz ketika menjawab persoalan tersebut berkata, mereka bukannya dipinggirkan tetapi media itu sendiri yang menjauhkan diri dari berhadapan dengan kenyataan yang sebenar.

“Saya tahu wartawan ni pada hakikatnya menulis apa yang dilihat sendiri tetapi maklumlah bila kerja dengan akhbar milik Pusat, apa yang dibuat oleh kita serba tak kena dan susahlah mereka nak laporkan perkara sebenar.

“Saya rasa cukuplah kerja dengan mereka ni, buat kerja secara jujurlah sebab di akhirat nanti akan ditanya semua ni,” katanya lagi.

Tiada ulasan: