Ahad, 26 September 2010

MBSA PBT Pertama Gunakan Bekas Makanan Mesra Pengguna


SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencipta sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini menggunakan bekas makanan mesra pengguna semasa sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidifitri di pekarangan Stadium Shah Alam, semalam.

Menurut Dato Bandar Shah Alam, Datuk Mazalan, menyatakan bekas makanan dan minuman yang dihasilkan daripada hampas tebu adalah sebahagian daripada usaha MBSA membudayakan aktiviti kitar semula.

“Melalui penggunaan bekas makanan yang berasaskan bio-degradasi ini kita berharap ia dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, selain mengurangkan masalah timbunan sampah di kawasan tapak pelupusan sampah,” jelasnya

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, sebanyak 40 ribu cucuk sate disajikan oleh pihak MBSA kepada pengunjung semasa majlis rumah terbuka PBT itu yang disambut meriah kira-kira 15 ribu pengunjung.

Selain sate, terdapat juga pelbagai juadah tradisional dan moden disediakan untuk para pengunjung. Sebanyak 21 gerai makanan diuruskan sendiri dari setiap jabatan dan warga kerja MBSA.

Pihak Majlis juga tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan memberi sumbangan duit raya kepada 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Kasih Bistari.

Jamuan Rumah Terbuka ini disifatkan oleh MBSA sebagai acara permulaan kepada sambutan 10 tahun Shah Alam diisytiharkan sebagai bandaraya yang disambut pada Oktober ini

Tiada ulasan: