Selasa, 7 September 2010

MB perlu kelulusan Exco sebelum terima bonus syarikat kerajaan negeri

FAEKAH HUSIN

MENTERI BESAR PERLU KELULUSAN MESYUARAT EXCO SEBELUM TERIMA BONUS DARI SYARIKAT KERAJAAN NEGERI.

MANTAN Menteri Besar Datuk Seri Dr Khir Toyo sekali lagi membuktikan ketakupayaan dan cetek ilmu pengetahuan. Kenyataannya berhubung bonus dan insentif yang ditolak Menteri Besar menunjukkan beliau tidak mampu membezakan antara organisasi korporat dan kerajaan. Ini tidak menghairankan memandangkan pentadbiran yang baik tidak diamalkan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar.

Ketika YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim (berkhidmat) di PNB dan Guthrie beliau merupakan eksekutif sepenuh masa, seterusnya berhak menerima bonus dan faedah istimewa oleh pemegang saham dua syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, sebagai Menteri Besar, kedudukannya di dalam semua syarikat berkaitan kerajaan negeri merupakan jawatan bukan eksekutif, bererti tiada hak untuk mendapat faedah istimewa berbentuk kewangan seumpama itu.

Mungkin Dr Khir Toyo tidak sedar bahawa jika seseorang memegang jawatan bukan eksekutif, tidak bermakna beliau bekerja untuk syarikat berkenaan. Jika beliau tidak mengetahui perkara itu, saya ingin memaklumkannya bahawa seseorang yang memegang jawatan bukan eksekutif sekadar mewakili pemegang saham untuk memantau kebajikan syarikat.

Menteri Besar tidak diwajibkan memegang kedudukan bukan eksekutif dalam syarikat yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh kerajaan negeri. Sehubungan itu, faedah istimewa hanya boleh diberikan jika diluluskan Exco Negeri. Dalam keadaan seumpama itu, MB tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan disebabkan oleh konflik kepentingan.

Menteri Besar bercadang untuk merujuk isu ini kepada Dewan Negeri Selangor bagi membolehkan semua wakil kerajaan negeri berdebat sama ada bukan eksekutif berhak menerima faedah istimewa dan bonus serupa dengan eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Sebagai Menteri Besar ketika itu, Dr Khir Toyo tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kedudukannya dan menerima faedah istimewa seperti bonus serta insentif. Walaupun YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim tiada alasan politik untuk menolak faedah istimewa yang ditawarkan kepadanya sebagai pengerusi di dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajan negeri tetapi sebagai Menteri Besar di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, beliau enggan untuk meneruskan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.

Sebagai kerajaan yang menegakkan ketelusan serta kebertanggungjawaban, kerajaan Pakatan Rakyat percaya bahawa rakyat mesti dimaklumkan mengenai faedah istimewa dan bonus yang diberikan kepada wakil mereka yang memegang jawatan bukan eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.

UMNO boleh terus mewajarkan keputusan serta polisi tidak jujur yang telah mereka amalkan sejak 53 tahun lalu, tetapi saya ingin mengingatkan mereka bahawa rakyat kini lebih berpengetahuan dan tidak akan teragak-agak menghukum pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi. Dalam Islam bukan saja niat perlu betul, tetapi jalan yang digunakan, matlamat dan cara juga mesti mesti.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: