Khamis, 16 September 2010

MB gesa polis bendung jenayah kejam di Selangor

TV SELANGOR

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkejut dan sedih dengan berita pembunuh kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dipercayai dipukul sehingga mati, mayat dibakar dan abu ditabur di Sungai Panchau, Banting.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kejadian pembunuhan kejam dan menakutkan yang sering kali dilaporkan berlaku di negeri Selangor.

Katanya, rakyat Malaysia masih belum melupakan kejadian pembunuhan kejam wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dan mayatnya diletupkan menggunakan bom C4 di Puncak Alam. Begitu juga dengan pembunuhan kanak-kanak malang berumur lima tahun, adik Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh kejam dan mayatnya disumbat dalam beg pakaian sukan pada 2007.

“Sekarang rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan pembunuhan kejam Datuk Sosilawati, , bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Pendedahan pihak polis bahawa motif pembunuhan mempunyai kaitan rapat dengan satu urus niaga tanah, di samping urus-urus niaga lain begitu merunsingkan.

“Kejadian ini sudah pasti memberi kesan yang mendalam kepada kaum keluarga mangsa. Malah seluruh rakyat Selangor turut merasa sugul apatah lagi kejadian berlaku ketika seluruh umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Selangor dengan tulus hati mengucapkan takziah kepada keluarga keempat-empat mangsa terlibat dan berharap mereka redha dengan ujian Allah S.W.T.

“Kerajaan Negeri juga berharap agar penjenayah kejam yang melakukan pembunuhan ini segera didakwa dan dijatuhkan hukuman setimpal ke atas perbuatan yang tidak bertamadun ini,” katanya.

Menteri Besar amat berharap polis melakukan yang terbaik untuk membanteras kejadian seumpama ini dari terus berlaku. Pada masa yang sama Kerajaan Selangor turut menekankan keperluan bagi seluruh rakyat Malaysia untuk menjalankan perniagaan secara jujur, berhemah dan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, Malaysia yang pada ketika ini dikatakan sudah tidak kompetitif berbanding negara Asia yang lain, kejadian di luar batas kemanusiaan ini akan hanya menjadikan kita jauh ketinggalan kerana tidak bertamadun.

“Sesungguhnya ketakutan rakyat dan pelabur adalah sesuatu yang nyata dan perlu ditangani dengan bijaksana oleh pihak berwajib, “ kata Abdul Khalid.

Tiada ulasan: