Khamis, 9 September 2010

Mana subsidi minyak pengangkutan awam ?

pemudasarawak

Oleh Hazel Lee

MIRI — Lebih 7,000 penduduk dari beberapa perkampungan di Apoh Tutoh merayu kepada pengusaha bot ekpress di Marudi agar menetapkan satu jadual perjalanan bagi memudahkan mereka berulang-alik.

Penduduk kampung memberitahu, pengangkutan bot ekpress itu sepatutnya beroperasi tiga kali seminggu untuk membawa penumpang ulang alik dari Marudi ke Long Panai, Batu Belah, Long Panai, Long Terawan, Long Ukok, Long Patan/Paloh dan Mulu.

Namun sejak beberapa minggu lalu, bot ekpress tidak beroperasi seperti biasa menyebabkan ramai penumpang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong tersangkut di Marudi dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

Ketua masyarakat bagi kawasan Apoh Tutoh, Penghulu Herbert Lawai Epoi berkata, pengusaha bot ekpress perlu menetapkan jadual perjalanan bagi memudahkan penduduk kampung berulang alik ke Marudi.

“Jadual operasi bot ekpress yang tidak menentu ini menyukarkan kami untuk pulang ke Long Terawan, Mulu dan Long Panai. Selain itu, jadual perjalanan bot ekpress yang dibatalkan pada saat-saat akhir menyusahkan penduduk Tutoh Apoh yang bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan air,” kepadanya hari ini.

Penghulu Herbert berkata, ada masanya mereka terpaksa tidur di Marudi sehingga tiga hari sementara menunggu bot ekpress memulakan perjalanan.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Bot Ekpress Marudi, Jong Kian Seng berkata, mereka terpaksa mengurangkan operasi kerana tidak mampu menanggung kos bahan api yang mahal.

“Kami sepatutnya menikmati minyak subsidi dengan harga RM1.48 seliter, namun kami membayar dengan harga RM1.83 seliter kerana kos penghantaran. Ini sudah tentu membebankan kami, tambahan pula jumlah penumpang kian berkurangan.”

Menurut Jong, beberapa penempatan seperti Long Panai kecuali Long Terawan dan Mulu dapat dihubungi menggunakan jalan darat.

“Kami terpaksa membatalkan beberapa jadual perjalanan kerana tidak mahu menanggung kerugiaan. Justeru, kami mahu kerajaan memberi subsidi bagi kos penghantaran bahan api,” katanya.

Mengulas perkara ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok berkata, situasi ini bukan sahaja menyusahkan penduduk Tutoh Apoh malah memalukan kerana pelancong yang mahu ke Mulu turut terkena tempias.

“Sebahagian besar perkampungan termasuk sekolah di Apoh bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan bot ekpress. Begitu juga pelancong yang mahu pergi ke Taman Negara Gunung Mulu melalui Marudi.”

Sehubungan itu, Lihan mahu pengusaha bot menyusun semula jadual perjalanan untuk memudahkan penduduk tempatan dan pelancong.

“Sekiranya pengusaha bot tidak dapat beroperasi tiga kali seminggu, mereka boleh mengurangkan jadual perjalanan. Apa yang penting setiap minggu mereka ada beroperasi.”

Mengenai permintaan subsidi kos penghantaran minyak yang dicadang oleh persatuan, Lihan memberi jaminan akan membawa perkara itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKP).

Sementara itu, sumber dari Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSSS) cawangan Miri ketika dihubungi memberitahu, pihaknya tidak teragak-agak akan menarik lesen operasi sekiranya pengusaha bot ekpress tersebut tidak beroperasi sepatutnya.

Tiada ulasan: