Rabu, 22 September 2010

Malaysia, Brunei akui wujud potensi kerjasama masa depan

BERNAMA


Najib (kanan) bersalam dengan Sultan Hassanal Bolkiah bagi menyambut ketibaan Sultan Brunei di kediaman rasmi di Seri Perdana. — Foto Bernama

PUTRAJAYA — Malaysia dan Brunei bersetuju bahawa wujud potensi baik bagi kerjasama masa depan antara kedua-dua negara khususnya menjangkaui Blok CA1 dan Blok CA2 di Kawasan Aturan Komersial (CAA) serta melibatkan negeri Sabah dan Sarawak.

Perjanjian ini dicapai pada Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-14 antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana di sini malam tadi.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, kerjasama masa depan itu turut melibatkan kemungkinan usahasama dengan negara ketiga dalam cari gali dan eksploitasi minyak dan gas serta pembangunan industri hiliran.

Terdahulu itu, kedua-dua pemimpin telah menyaksikan majlis menandatangani Surat Ikatan Pindaan bagi Perjanjian Perkongsian Produksi (PSA) blok laut dalam Brunei bagi CAA Blok CA1. Perjanjian itu termeterai antara PetroleumBrunei dan Petronas.

Sebelum itu, Najib dan Sultan Hassanal mengadakan pertemuan empat mata selama 30 minit. Kedua-dua pemimpin meyifatkan perjanjian itu merupakan langkah signifikan ke arah hadapan dalam pembangunan kerjasama antara pihak berkuasa petroleum kedua-dua negara.

“Mereka juga berharap PSA bagi CAA Blok CA2 akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga turut meneliti kemajuan perbincangan mengenai pelaksanaan elemen lain yang dipersetujui dalam Surat Pertukaran antara kedua-dua negara itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga meneliti kemajuan perbincangan Jawatankuasa Teknikal Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Brunei dan meminta jawatankuasa itu memuktamadkan Terma Rujukan dan Memorandum Persefahaman mengenai Pembatasan dan Pengukuran Bersama Sempadan menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan aktiviti pembatasan dan pengukuran bermula pada suku pertama tahun depan.

“Kedua-dua pemimpin juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan kemudahan masa depan dan menjana persekitaran yang lebih kondusif dan mantap dalam pelbagai sektor demi kepentingan bersama khusus bagi aktiviti di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga melahirkan hasrat masing-masing untuk terus meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dan berharap mementum peningkatan kadar perdagangan dan pelaburan antara dua negara itu terus dipercepatkan.

“Baginda Sultan melahirkan kepuasan bahawa beberapa syarikat Malaysia telah menyertai dalam projek dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) dan mempelawa lebih banyak pelaburan Malaysia di Brunei,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Najib juga berpuashati dengan pelaburan yang dilakukan oleh Brunei di Malaysia dan menjemput lebih banyak pelabur di koridor ekonomi negara seperti di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) dan Koridor Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju mengarahkan agensi berkaitan di negara masing-masing bagi meningkatkan perbincangan mengenai cara dan langkah meningkatkan perdagangan merentas sempadan dan aliran barangan dan perkhidmatan antara Brunei dan Malaysia termasuk transit dan bayaran lain.

“Kedua-dua mengimbas rundingan tahunan ke-10 di Kemaman, Terengganu pada Ogos 2006 mengenai pembinaan jambatan khususnya dalam kawasan-kawasan terpilih menghubungkan Brunei dan Sarawak dan meneliti bahawa inisiatif itu akan dikendalikan oleh sektor swasta.

“Mereka berharap pembinaan jambatan merentasi Sungai Pandaruan dapat bermula secepat mungkin,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu berpuashati dengan kelancaran perkhidmatan feri antara Serasa, Brunei dan Menumbok di Sabah dan ia telah memudahkan perjalanan bagi penduduk tempatan dan pelancong dari kedua-dua negara sejak perkhidmatan itu dilancarkan pada 30 Dis, 2009.

Kedua-dua pemimpin itu juga berpuas hati dengan kemudahan “Frequent Travellers’ Facility” yang telah dipersetuju dan menanti pelancaran kemudahan itu yang membolehkan interaksi antara penduduk dan perjalanan antara Malaysia dan Brunei.

Mereka juga menyambut baik hubungan dua hala yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan, tenaga, pertahanan, pendidikan, pertanian, pelancongan, perkhidmatan udara, kesihatan, teknoloji maklumat dan komunikasi (ICT) serta penerangan dan penyiaran.

Sebagai jiran yang akrab, kedua-dua pemimpin itu mengakui betapa pentingnya meningkatkan rundingan dan penyelarasan dalam usaha merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015 dan dalam menggalakkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan di rantau ini.

Kedua-dua pemimpin juga mengharpakan Mesyuarat Kedua Asean dan Pemimpin Amerika Syarikat di New York pada Jumaat ini akan dapat meningkatkan lagi hubungan Asean-Amerika Syarikat khususnya dalam menggalakkan dialog dan kerjasama.

Najib dan Sultan Hassanal juga berpuashati dengan hasil rundingan tahunan itu dan bersetuju mengadakan rundingan seterusnya di Bandar Seri Begawan, Brunei, tahun depan.

Tiada ulasan: