Selasa, 7 September 2010

Majoriti MP PKR sokong Azmin tanding Timbalan Presiden


pc picOleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Majoriti Ahli Parlimen dan Senator dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti penghujung Oktober ini.

Menurut Ahli Parlimen Telok Kemang Kamarul Bahrin Abbas, kepimpinan Azmin telah terbukti dengan kesetiaan beliau sepanjang menjawat jawatan dalam parti.

Sejajar dengan itu, Azmin dilihat calon terbaik yang dapat memperteguhkan parti bersama-sama kepimpinan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Azmin merupakan tokoh kanan yang telah melalui pelbagai cabaran getir, termasuk diaibkan ahli keluarga dalam mengharungi gerakan reformasi rakyat.

"Ketokohan dan ketahanan telah teruji dan sebagai pelopor kanan, bersama Wan Azizah," kata Kamarul yang mewakili 20 Ahli Parlimen termasuk dua senator PKR yang lain pada sidang media di ibu pejabat parti di sini hari ini.

Kamarul berpendapat pengumuman tersebut tidak terlalu awal memandangkan pemilihan calon bakal berlangsung tidak lama lagi. Pemilihan 17 September (tajuk kecil)

"Saya tidak rasa pengumuman ini awal kerana pemilihan akan bermula 17 September ini. Jika ada sebarang perubahan kami percaya ia tidak menjadi masalah dalam pemilihan. Dan itu terserah pada calon sendiri dan penyandang jawatan ini" katanya.

Menurutnya, pengumuman ini sudah mendapat jaminan daripada Azmin bahawa beliau akan bertanding.

"Sememangnya ada jaminan, kalau tak, kami takkan buat resolusi untuk menyuarakan pandangan kami," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kedudukan Timbalan Presiden Syed Husin Ali yang masih belum membuat sebarang pengumuman, Kamarul berkata "terpulang kepada calon untuk mempertahan sebarang jawatan".

Antara ahli parlimen yang hadir ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Johari Abdul (Sungai Petani), S Manikavasagam (Kapar), Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) dan Amran Abdul Gani (Tanah Merah).

Manakala 12 lagi ialah Abdullah Sani (Kuala Langat), Fuziah Salleh (Kuantan), Azan Ismail (Indera Mahkota), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan), Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh), Yusmadi Yusoff (Balik Pulau), Rashid Din (Merbok), Tian Chua (Batu), William Leong (Selayang), R Sivarasa (Subang) dan Ahmad Kasim (Kuala Kedah).

Manakala dua senator itu ialah Datuk Mustafa Kamal dari Pulau Pinang dan Zamri Yusof (Kedah).

Lima wakil rakyat yang tidak hadir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), Saifuddin Nasution (Machang), Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).

Tiada ulasan: