Selasa, 7 September 2010

Majlis Peguam Sedia Temu KBGM Bincang Isu Kempen Perlembagaanku


TV SELANGOR

Satu kenyataan media telah dikeluarkan Majlis Peguam Malaysia menjelaskan tentang Kempen Perlembagaanku yang menimbulkan kegusaran Kelab Belia Graduan 1Malaysian (KBGM).

Presiden, Ragunath Kesavan menyebut bahawa beliau telah difahamkan satu laporan polis telah dibuat terhadap Kempen Perlembagaan oleh Kelab Belia Graduan 1Malaysian (KBGM).

Beliau menganggap kebimbangan itu adalah berpunca dari kurangnya pemahaman berkenaan kempen berkenaan.

Kempen tersebut yang telah mengeluarkan sebuah buku, ‘Buku Panduan Rakyat ‘ telah disalah anggap oleh golongan tertentu sebagai sebagai bersifat menghasut.

Rajunath berkata, tujuan kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang perlembagaan di kalangan rakyat Malaysia dan bukannya bertujuan untuk membuat pindaan terhadap perlembagaan itu.

Menurut Ragunath lagi, mungkin kebimbangan itu timbul adalah kerana buku berkenaan mengandungi maklumat bahawa perlembagaan sebenarnya boleh dipinda tetapi mestilah melalui proses tertentu iaitu persidangan dan persetujuan Ahli Parlimen yang dipilih.

Menurut rekod beliau, Parlimen pernah meminda lebih 40 perlembagaan dalam masa 53 tahun yang lalu dengan lebih dari 650 pindaan individu.

Beliau juga menjelaskan bahawa perlembagaan boleh dipinda dengan persetujuan 2/3 Ahli Parlimen tetapi terdapat beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan seperti yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu yang hany boleh dipinda dengan kebenaran Majlis Raja-Raja.

Mengulas tentang peruntukan yang diperolehi oleh badan tersebut, Ragunath menjelaskan bahawa ianya adalah biayaan badan itu sendiri tetapi menerima sumbangan pelbagai pihak termasuklah Kerajaan Persekutuan sendiri.

Mengakhiri kenyataan tersebut, Rajunath menjemput KBGM mengadakan perbincangan dan sedia bekerjasama untuk ‘Merakyatkan Perlembagaan’.

Tiada ulasan: