Jumaat, 24 September 2010

Mahkamah Sivil Baru selesai kes dalam sembilan bulan

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sivil Baru yang diwujudkan bertujuan menyelesaikan kes-kes sivil dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh difailkan akan bermula pada 1 Oktober ini, menurut risalah yang diedarkan kepada wakil media hari ini.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dijadual melancarkan Mahkamah Sivil Baru (NCvC) itu esok, menurut risalah itu.

Menurut risalah itu, NCvC akan mendengar dan menyelesaikan permohonan sivil atau saman yang difailkan pada atau selepas 1 Oktober, di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur.

Mahkamah itu diwujudkan bagi memastikan penyelesaian kes dengan kadar segera dan selaras dengan Mahkamah Komersil Baru (NCC), menurutnya.

NCC dilaksanakan pada 1 Sept tahun lepas, bagi tujuan sama, untuk melupuskan kes dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh difailkan.Enam hakim akan ditugaskan untuk NCvC, dan mereka akan bertugas secara bergandingan dua orang secara giliran setiap tiga bulan, menurut risalah itu.

Menurutnya, gandingan pertama hakim ialah Harmindar Singh Dhaliwal dan Prasad Sandosham Abraham.

Berdasarkan anggaran jumlah kes yang difailkan setiap bulan di bahagian sivil berbanding kadar penyelesaian kes bagi tempoh yang sama, hakim berkenaan akan dapat melupuskan kes yang ditugaskan kepada mereka dalam tempoh yang ditetapkan, menurut risalah itu.

Semua kes sivil yang difailkan sebelum 1 Oktober akan dikendalikan dan dilupuskan oleh hakim sedia ada.

Tinjauan mendapati terdapat sebuah NCvC di tingkat tiga Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini.

Tiada ulasan: