Rabu, 1 September 2010

Mahkamah ‘Bini Puaka’: 19 saksi selesai memberi keterangan

Mahkamah Putra Jaya Oleh Qayum Rahman

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selesai mendengar penjelasan kesemua 19 saksi yang memberi keterangan dalam kes ‘Bini Puaka’ membabitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lima pelajar Universiti Malaya didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mencurahkan minyak petrol ke atas permaidani beberapa jam sebelum Rosmah hadir bagi melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin, tahun lalu.

Mereka Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli, Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani dan Mohd Izzuddin Helmi Mohd Zaini.

Sejurus mendengar keterangan saksi terakhir, Hakim Rozana Ali Yusoff meminta Timbalan Pendakwa Aidatul Azura Zainal Abidin menyediakan hujah secara bertulis dan lisan pada petang ini setelah menerima hujahan ringkas daripada peguam bela tertuduh.

Sebelum itu, saksi terakhir Detektif Koperal Yaacob Ramli hari ini disoal oleh peguam Hulzaimi Shariff mengenai tangkapan dan laporan yang dilakukan beliau terhadap tertuduh Mohammad Saufi Jelani.

Detektif Koperal Yaacob mengatakan tiada kekasaran berlaku semasa disoal siasat dan tertuduh memberi kerjasama baik untuk membantu siasatan dengan memberi keterangan.

Manakala peguam bela Mohd Arfizi Ramli yang mewakili Mohd Izzuddin Helmi dan Mohd Syahrulden hari ini memberitahu mahkamah bahawa tiada bukti kukuh mengatakan kelima-lima tertuduh terlibat dalam perbuatan khianat kerana timbalan pendakwa raya telah gagal mengemukakan sebarang bukti melalui keterangan saksi.

"Keterangan dari pengawal keselamatan yang menjadi saksi pendakwa raya amat bercanggah hingga tidak mampu membuktikan kesemua tertuduh melakukan sebarang perbuatan semasa kejadian.

"Pengawal keselamatan itu (saksi) juga dilihat meletakkan kesemua kesalahan ke atas kedua-dua anak guam saya semata-mata untuk menyenangkan tugasan mereka,"katanya.

Peguam Razlan Jalaludin yang mewakili Syazni Munir pula meminta mahkamah menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya berikutan laporan ahli kimia jelas menunjukkan tiada kesan petrol mahupun minyak tanah melibatkan Syazni.

"Pertuduhan di bawah seksyen 436 yang bermaksud khianat menggunakan api terhadap anak guam saya adalah tidak benar kerana laporan ahli kima telah menyatakan tiada wujudnya sebarang kesan api kebakaran semasa kejadian.

"Mahkamah perlu menilai semula semua keterangan 19 saksi dan juga hujah daripada pendakwa raya yang jelas banyak percanggahan hingga tidak mampu membuktikan semua tertuduh terlibat,"ujarnya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan bersambung petang ini.

Tiada ulasan: