Jumaat, 17 September 2010

Maahad Saniah jual 1,110 dirham kurang 2 jam

Harakahdaily

PASIR PUTIH: Sekolah Agama Maahad Saniah di sini mencatat rekod peribadi penjualan matawang syariah Dirham Kelantan apabila berjaya menjual 1,110 keping dalam masa tidak sampai dua jam semasa Majlis Aidilfitri dan Pelancaran Dana Pembangunan maahad, semalam.

Majlis yang turut dihadiri oleh Adun Limbungan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Salor, Datuk Husam Musa, Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husin.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiba sedikit lewat kerana memenuhi undangan menghadiri majlis pernikahan sebelumnya.

Majlis itu menjadi lebih menarik apabila pihak pengurusan Maahad Saniah mengambil keputusan untuk menjadikan Dirham Perak Kelantan sebagai tarikan utama kepada para pengunjung membeli sambil menyumbang kepada dana pembangunan tersebut.

Lelongan awal Dirham bernilai RM50 bagi 1 Dirham yang mana baki nilainya akan dimasukkan ke dalam Tabung Dana Pembangunan Maahad Saniah berjaya dijual sebanyak hampir 100 Dirham manakala selebihnya pula berjaya dijual dengan harga antara RM20 sehingga RM18 bagi 1 Dirham.

Dalam majlis yang sama juga, sepasang pengantin baru dari Pasir Putih bermurah hati mendermakan mas kahwin mereka sebanyak 2 Dinar kepada Tabung Dana Pembangunan Maahad Saniah manakala seorang anak Kelantan yang bekerja di Kuala Lumpur dan pulang berhari raya pula telah mencatat sejarah sebagai pembeli Dirham terbanyak, lebih dari 200 Dirham dan kesemuanya telah didermakan ke Tabung Dana Maahad Saniah.

Tiada ulasan: