Rabu, 15 September 2010

LPK gagal ketepikan saman fitnah Kuala Dimensi

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk mengetepikan saman fitnah yang difailkan oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berhubung penyiaran laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwCAS) Advisory Services Sdn Bhd, yang mempunyai kaitan dengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof berkata semua isu yang dibangkitkan dalam saman utama perlu diputuskan melalui proses perbicaraan.

Selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak kira-kira dua jam dalam kamarnya, beliau menolak permohonan LPK dengan kos RM15,000 dan memerintahkan supaya perkara itu diputuskan dalam perbicaraan penuh.

Beliau menetapkan 22 Nov bagi pengurusan kes di hadapan seorang timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi.

Peguam N Nahendran, yang mewakili KDSB, memberitahu pemberita, mahkamah tidak berpuas hati dengan hujah defendan bahawa pendedahan laporan itu tidak bersifat fitnah atau perlindungan bersyarat dan tidak terdapat niat jahat dalam tindakan mereka itu.

KDSB memfailkan saman itu pada 1 Julai tahun lalu, dengan mendakwa laporan itu mengandungi pelbagai dakwaan yang boleh menjejaskan dengan teruk reputasi dan perniagaannya.

Dalam saman itu, KDSB tidak menyatakan jumlah sebenar ganti rugi yang dituntut daripada PKA.

Dalam pernyataan tuntutannya, KDSB menyebut laporan audit PwCAS, antara lain, membayangkan bahawa syarikat itu didakwa telah mengenakan caj berlebihan terhadap kerja-kerja yang dijalankannya di PKFZ dan gagal dalam melaksanakan tugasnya, seperti yang diharapkan oleh firma berkenaan.

KDSB turut mendakwa mereka memeterai perjanjian dengan LPK untuk membangunkan
projek PKFZ, sungguhpun menyedari bahawa ia bertentangan dengan keperluan undang-undang.

Plaintif turut mendakwa dengan memilih untuk menyiarkan laporan audit PwCAS, defendan berniat mempelawa orang ramai meneliti keputusan melantik KDSB sebagai pemaju dan kontraktor utama.

Sehubungan itu, KDSB memohon ganti rugi teladan dan teruk daripada defendan atas alasan bahawa laporan itu membangkitkan beberapa isu lain, yang mengakibatkan orang ramai mempunyai tanggapan salah terhadap firma berkenaan.

Selanjutnya, plaintif mendakwa defendan secara sengaja membuat tuduhan terhadap KDSB, tanpa memberi peluang kepada syarikat itu untuk membela diri
berikutan penyiaran laporan itu.

Dalam prosiding hari ini, LPK diwakili oleh peguam Leong Wai Hong.


Tiada ulasan: