Rabu, 29 September 2010

Lokasi baru buang bukti akan disiasat: Mohd Bakri

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan di beberapa lokasi baru di ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, ia rentetan kepada penemuan dua 'kubur' di ladang tersebut Sabtu lalu.

“Memang ada dua lokasi baru di ladang itu dan ada beberapa tempat lagi yang akan dilawati, berdasarkan petunjuk baru yang kita dapat.

“Itu adalah tempat untuk kita mendapatkan bahan-bahan bukti. Kita tengok kawasan di mana berkemungkinan mereka menggunakan tempat-tempat ini untuk membuang bukti kes," katanya ketika ditemui pemberita di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohd Bakri berkata, polis berkemungkinan akan menyiasat kes kehilangan ahli perniagaan dari sungai Petani, Kedah, Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sebelum ini kita siasat kes tersebut di bawah siasatan orang hilang, dan kemungkinan untuk kita menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetap ada,” katanya.

Shafik bersama rakannya hilang sejak April lalu, dipercayai selepas menemui suspek utama.

Suspek utama sebelum ini dikaitkan dengan kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang kini disiasat mengikut akta yang sama.

Sejumlah tulang manusia berkemungkinan milik Shafik, rakannya dan Allal Kathan selepas polis menemui dua lokasi masing-masing di dalam dan di luar kawasan ladang.

Tiada ulasan: