Rabu, 8 September 2010

Lebih 80 Peratus Tiket Perjalanan KTMB Ke Semua Destinasi Habis Dijual

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus tiket perjalanan bagi Hari Raya yang dijual oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak akhir Ogos lepas untuk semua destinasi telah habis dijual.

Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata tiket bagi perjalanan ke arah pantai timur sudah habis dijual manakala bagi arah ke utara dan selatan, tiket perjalanan masih ada.

"Pengguna yang ingin pulang ke kampung bagi arah utara dan selatan, mereka boleh mendapatkan tiket di kaunter-kaunter KTMB," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa KTMB di sini, Selasa.

Pada majlis itu, Dr Aminuddin turut mengedarkan sebanyak 5,000 pek hari raya di mana 3,000 pek diberikan kepada penumpang perkhidmatan KTM Komuter dan bakinya diberikan kepada pengguna KTM antara bandar.

Beliau berkata pada tahun lepas, KTMB memperuntukkan sebanyak 100,000 tempat duduk bagi promosi semasa hari raya yang habis dijual manakala bagi tahun ini, jumlah tempat duduk terpaksa ditambah kepada 140,000 bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Sementara itu, Dr Aminuddin berkata pihaknya telah berjaya menjual lebih 90 peratus tiket keretapi elektrik EMU (electric multiple units) iaitu perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) yang kali pertama diperkenalkan sempena hari raya pada kali ini.

Beliau berkata sebanyak empat unit ETS bagi perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur dan Ipoh-Seremban selain perkhidmatan shuttle dari Kuala Lumpur-Ipoh akan digunakan bagi musim perayaan pada kali ini.


Tiada ulasan: