Ahad, 5 September 2010

Laporan polis dibuat terhadap ‘Perlembagaanku’

THE MALAYSIAN INSIDER

SERDANG — Kelab Belia Graduan 1Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran risalah dan buku berbaur hasutan terhadap institusi perlembagaan negara ini.

Setiausaha Agung kelab itu, Ezaruddin Abdul Rahman berkata risalah tersebut yang dinamakan “Perlembagaanku”, mendakwa rakyat berhak meminda perlembagaan negara jika memilih anggota Parlimen yang mampu berbuat demikian.

“Kami difahamkan risalah itu diedarkan di beberapa institusi pengajian di sekitar Lembah Klang dan beberapa kolej di Kedah melalui kempen mereka.

“Kita percaya ia dibiayai NGO (badan bukan kerajaan) asing bersifat antikerajaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Serdang di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta polis dan kerajaan mengambil tindakan segera kerana penyebaran risalah tersebut boleh mengaburi serta mempengaruhi pemikiran generasi muda.

Ezaruddin juga meminta polis menyiasat penjualan buku “The March to Putrajaya - Malaysia New Era Is At Hand” oleh Kim Quek kerana mendakwa kandungannya berunsur fitnah.

“Kami juga meminta Kementerian Dalam Negeri menarik balik penjualan buku-buku yang kami anggap “sampah” ini kerana setelah diamati, ia berbentuk fitnah yang banyak menyentuh mengenai peribadi pemimpin negara dan mendedahkan masalah-masalah perkauman,” katanya.

Beliau percaya buku setebal 361 muka surat itu sudah lama berada di pasaran.

Tiada ulasan: