Ahad, 5 September 2010

Laporan lengkap MBE dibentang kepada umum bulan depan

BERNAMA

IPOH, 4 Sept — Laporan lengkap transformasi Model Baru Ekonomi (MBE) akan dibentang kepada umum pada bulan depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

MBE adalah model baru berteraskan Program Transformasi Ekonomi (GTP) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dijangka dapat meletakkan negara sebagai pesaing di persada antarabangsa, katanya.

“Inisiatif terperinci ini diambil kira bagi memastikan sasaran negara berpendapatan tinggi tercapai, dengan menjana ekonomi demi memacu pendapatan per kapita penduduk kepada US$15,000 (RM46,500).

MBE berfungsi lebih kepada “ekonomi sebenar” yang memerlukan pelaksanaan pelbagai industri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak yatim, ibu tunggal dan orang-orang miskin di Masjid Kampung Tengku Hussin di sini hari ini.

Melalui transformasi itu, katanya kerajaan akan meletakkan pihak swasta sebagai pemacu dan penggerak kepada ekonomi negara.

Katanya, kerajaan merangka MBE yang diyakini mampu menjadi pemangkin dalam membentuk hala tuju baru ekonomi negara.

Sebelum itu, Husni berkata kerajaan telah memasukkan perbelanjaan operasi sebanyak RM500 juta dan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion dalam bajet NKEA yang menjadikan keseluruhan kos sebanyak RM5.5 bilion pada tahun depan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 8.0 peratus akan disumbang oleh kerajaan manakala selebihnya akan diperolehi melalui penyertaan swasta, termasuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan),” katanya.

Kesemua 12 NKEA yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) ialah minyak dan gas, tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya adalah sektor industri dan satu — Greater Kuala Lumpur — ialah kawasan geografi.

Tiada ulasan: